
Saban tahun menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di negara kita pasti akan bersedia menanti di depan kaca TV usai berbuka puasa pada 29 Ramadan untuk pengumuman tarikh 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. Bahkan, sudah menjadi seperti suatu ‘tradisi’ di Malaysia untuk rakyat meneka apakah warna baju Syed Danial untuk tahun tersebut!
Namun, pada Aidilfitri 2 tahun lepas, tiada siapa beri perhatian kepada warna baju Syed Danial kerana hampir keseluruhan rakyat Malaysia dikejutkan oleh tarikh 1 Syawal yang diumumkan bagi tahun 2022, dimana ianya sehari lebih awal dari apa yang dijangkakan. Usai pengumuman 1 Syawal 1443 Hijrah tersebut yang digelar rakyat sebagai ‘Raya Terkejut’, rata-rata umat Islam di Malaysia bergegas untuk membuat persiapan minit terakhir bagi menyambut Aidilfitri keesokan harinya.

Alhamdulillah, peristiwa ‘Raya Terkejut’ ini tidak lagi berulang pada tahun 2023 ataupun tahun ini dan rakyat dapat membuat persiapan #RAYA2024 tanpa unsur panik. Tetapi, tahukah anda, ketidakpastian bila tarikh 1 Syawal, 1 Ramadan dan tarik-tarikh penting yang lain dalam Islam bukanlah perkara baru di Malaysia?
Malahan, tahulah anda, sebelum ini, negara kita sebenarnya tidak menyeragamkan tarikh-tarikh besar bagi umat Islam untuk seluruh negara tetapi membiarkan setiap negeri menentukan sendiri tarikh-tarikh tersebut? Kali terakhir ketidakseragaman tarikh 1 Ramadan dan 1 Syawal berlaku di Malaysia ialah pada tahun 1983, di mana negeri Perak dan Johor telah menyambut Ramadan dan Aidilfitri satu hari lebih awal berbanding seluruh Malaysia.
Peristiwa aneh 1983 ini menimbul kekecohan dan perdebatan di negara kita hingga ianya telah dibawa ke Dewan Rakyat untuk perbicangan oleh Ahli-Ahli Parlimen.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku pada tahun 1983? Ini semua yang anda perlu tahu:
Kekeliruan tentang permulaan dan penghujung Ramadan pada tahun 1983

Sebelum tahun 1992, khususnya pada tahun 1970-an, kaedah terbaik bagi menentukan hari pertama Ramadan dan Syawal telah menjadi suatu perbahasan antara Ulama Islam di Malaysia setelah terdapat cadangan untuk berpindah dari rukyah (penampakan anak bulan dengan mata selepas matahari terbenam) ke rukyah bersama hisab (pengiraan astronomi).
Dalam 1 laporan khas Utusan Malaysia (arkib web bagi laporan tersbut boleh diakses di sini ), surat khabar tersebut telah memperincikan bagaimana kekeliruan bila tarikh sebenar 1 Ramadan dan 1 Syawal menyebabkan tiada keseragaman antara negara-negara Asia Tenggara. Hal ini juga berlaku di antara negeri-negeri di Malaysia kerana hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri dan bukannya persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Laporan khas Utusan Malaysia pada 5 Mei 2019 tersebut kemudian merujuk kepada peristiwa 13 Jun 1983, di mana pada tarikh tersebut, akhbar harian itu telah menyiarkan laporan bertajuk ‘Keadaan serba salah di Johor dan Perak’.
Laporan itu adalah mengenai bagaimana Perak dan Johor menyambut Hari Raya sehari lebih awal pada 12 Jun 1983 berbanding 13 Jun 1983 di tempat-tempat lain di seluruh Malaysia. Selain itu, kedua-dua negeri tersebut juga mula berpuasa sehari lebih awal berbanding negeri lain pada tahun 1983.

Peristiwa aneh ini berlaku walaupun Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Musa Hitam, telahpun mengumumkan setahun sebelumnya bahawa mulai tahun 1983, Majlis Raja-Raja telah bersetuju untuk hisab digunakan sebagai kaedah untuk menentukan tarikh bermulanya Ramadan dan Syawal apabila bulan tidak dapat dilihat. Ia bertujuan untuk menyeragamkan tarikh sambutan Ramadan dan Aidilfitri.
Namun, atas beberapa sebab yang tidak didedahkan, Johor dan Perak tidak mematuhi peraturan baharu itu. Tetapi mengikut laporan media pada tahun 1983, kedua-dua negeri didakwa melihat anak bulan lebih awal daripada jangkaan, justeru mengapa permulaan Ramadan dan Syawal adalah sehari lebih awal di kedua-dua negeri tersebut.

Sejak itu, Raja-Raja Melayu telahpun bersetuju supaya Yang di-Pertuan Agong memutuskan tarikh 1 Ramadan dan 1 Syawal dan ia akan diseragamkan untuk seluruh negara. Ini adalah selaras dengan Perkara 38 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa:
“Majlis Raja-raja hendaklah menjalankan tugasnya bagi: (b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh."
Perkara di atas dikongsi oleh Syed Danial dalam satu wawancara bersama Bernama pada tahun 2014.
Sudah tentu kejadian aneh sebegini turut mendapat perhatian Ahli-Ahli Parlimen pada waktu itu. Dalam sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 1983, Ahli Parlimen (MP) Pengkalan Chepa pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat meminta Perdana Menteri menghuraikan tindakan kerajaan pusat terhadap 'perbalahan' penentuan hari pertama Ramadan dan Hari Raya oleh Johor dan Perak.
Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab soalan Nik Aziz dengan menyatakan bahawa kerajaan pusat kecewa dengan perkara yang telah berlaku. Beliau seterusnya menegaskan bahawa kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana kaedah menentukan permulaan Ramadan dan Syawal (seperti yang dinyatakan sebelum ini) telah pun dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.


Setelah 1983, peristiwa aneh seperti ini tidak pernah berulang di negara kita lagi. Justeru, #RAYA2024 ini, marilah kita bersyukur kerana tarikh sambutan kita telah seragam, kerana jika ianya masih berbeza mengikut negeri, mungkin ramai yang akan berpusu-pusu ke Perak dan Johor untuk menyambut raya lebih awal!

Hantar artikel/video berkaitan #RAYA2024 dan menangi hadiah sebanyak RM8,100! Ketahui lebih lanjut di sini.
Jamie adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
