
Enam belas tahun lalu pada September, saya kehilangan seorang insan yang merupakan nadi hidup ini. Beliau bukan sekadar ayah, tetapi sahabat karib, pelindung dan tonggak kehidupan. Kehilangan itu mengubah segalanya. Hari demi hari berlalu, namun tidak pernah sekalipun rindu ini terhapus. Setiap sudut kehidupan terasa amat sunyi tanpa suaranya.
Di saat negara kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, ingatan kepada insan-insan seperti bapa saya begitu membara. Mereka telah mencurahkan seluruh hidup untuk membina negara ini; mereka yang pernah kita sanjung, tetapi kini semakin dilupakan dan mereka yang kisahnya terpadam dalam arus masa. Kita harus kembali mengingati mereka jika mahu mencari jalan keluar daripada kemelut yang melanda. Mereka perlu dijadikan contoh agar semangat dan warisan itu dapat menghidupkan semula jiwa ini.

Malaysia tidak dibina oleh satu kaum atau agama. Malaysia wujud daripada peluh dan darah rakyatnya – semua rakyatnya. Setiap hari, kita dihadapkan dengan pilihan – untuk tunduk kepada kebencian dan ketakutan atau berpegang kepada harapan dan penerimaan. Saya tahu apa yang ayah saya akan pilih. Dan saya tahu apa yang saya harus pilih.
Seperti yang saya lakukan setiap tahun, izinkan saya berkongsi semula apa yang saya tulis sejurus selepas ayah saya pergi – satu detik yang meragut sebahagian daripada jiwa saya, yang sehingga kini masih ada ruang kosong tidak berisi.
Panggilan Terakhir
Saya masih ingat panggilan terakhir itu. Saya terlepas panggilan pertamanya. Dia tinggalkan mesej seperti biasa, “Bodoh! Ini ayah kau. Apa gunanya ada telefon kalau tak guna? Hubungi aku.” Itu sahaja. Kami semua tahu, “bodoh” itu hanya untuk mereka yang dia benar-benar sayang.
Bila akhirnya kami bercakap, dia ceria seperti biasa – bercerita tentang penemuan baharu yang sedang diusahakannya. Dia kehilangan nombor beberapa rakan di Mumbai dan meminta saya mencarinya. Saya lakukan segera – dan menurut ibu, dia sempat bertemu mereka hujung minggu itu. Perbualan selama 15 minit pada hari Jumaat itu adalah kali terakhir suaranya berkumandang di corong telinga.
Pada 6 September 2006, ketika saya sedang bersarapan di Singapura, telefon berdering. Di hujung talian, abang sulung saya hanya berkata, “Dia sudah tiada.” Dunia saya tiba-tiba berhenti. Seakan-akan bumi terbelah dua, menelan segala rasa dan jiwa saya.
Ibu mengambil alih talian, menangis teresak-esak, “Mereka salah. Vinod, kau pergi sana dan betulkan. Kau boleh betulkan. Bawa dia balik. Mereka mesti buat silap…”

Tetapi tiada siapa yang melakukan kesilapan. Tan Sri Dr. B.C. Sekhar, ayah saya, telah pergi selama-lamanya.
Anak perempuan bongsu saya, Tara, yang ketika itu baru berusia lima tahun, tidak faham apa itu kematian. “Bila Papa nak balik? Saya nak jumpa dia,” soalnya berulang kali. Baginya, jika Papa pergi berjumpa Tuhan, tentu Papa akan balik semula.
Di pengebumian, Tara ingin mencium Papa buat kali terakhir. Baginya, setiap kali Papa tidur, dia hanya perlu mencium Papa untuk mengejutkannya. Saya lihat Tara berdiri di sisi keranda – memandang wajah Papa yang kaku dan tidak lagi bernafas. Dia masih percaya bahawa ciumannya akan mengejutkan Papa dari tidur yang panjang itu.
Menulis tentang beliau adalah saranan seorang sahabat. Katanya mungkin ia dapat meredakan sedikit kedukaan di hati. Jadi, biarlah saya ceritakan tentang seorang lelaki yang pernah menjadi dunia saya.
Integriti Dan Berprinsip
Balachandra Chakkingal Sekhar – atau mesra dipanggil Unni, dilahirkan pada 17 November 1929, di Estet Ulu Bulu. Dia membesar di ladang getah, berjalan kaki ke sekolah, belajar di bawah cahaya pelita minyak. Hidupnya penuh liku, namun dia tetap berusaha keras.
Tanpa diduga, dia diterima bekerja di Institut Penyelidikan Getah sebagai ahli kimia. Pada tahun 1966, dia mencipta sejarah sebagai Pengarah Penyelidikan Asia pertama. Dari situ, dia tidak lagi menoleh ke belakang. Dia membina pelbagai institusi penting negara – PORIM, MARDEC, RISDA – semuanya demi memastikan negara dan rakyatnya terus maju.
Namun, di sebalik segala kejayaan itu, ayah saya tidak pernah kaya. Dia tidak pernah mengambil kesempatan. Dia hidup sederhana – kereta lama, rumah biasa. Dia pernah menolak gelaran kesatria dari Kerajaan British kerana katanya, “Bagaimana aku, sebagai seorang Tan Sri Malaysia, boleh tunduk kepada Ratu sebuah negara asing?

Saya teringat suatu ketika, saya bertanya jika kereta rasmi kerajaan di UK boleh mengambil saya dari sekolah ke lapangan terbang. “Tidak!” jawabnya tegas. “Kereta itu hanya untuk urusan rasmi. Kalau kau nak balik, naik kereta api.” Dan dia akan menunggu saya di stesen dengan teksi, bukan kereta rasmi.
Ayah saya hidup dengan prinsip yang tidak pernah goyah. Dan kini, setelah dia tiada, saya merasakan dunia ini terlalu sunyi. Tiada lagi tegurannya. Tiada lagi panggilan yang memanggil saya “bodoh” dengan penuh kasih sayang.
Malaysia Sebenar
Hari pengebumian ayah adalah hari di mana saya melihat Malaysia sebenar. Ratusan orang hadir – semua kaum, semua agama. Di sisi keranda, seorang sahabat lama yang kini seorang penganut Hare Krishna membaca mantera. Di sudut lain, seorang Muslim membaca ayat-ayat suci al-Quran. Dan seorang wanita Kristian berdiri bersama ibu saya, menangis dan berdoa.
Ketika itu, saya teringat altar di rumah kami – tempat ayah meletakkan patung dewa Hindu, ayat-ayat suci al-Quran, salib dan patung Buddha. “Tuhan itu satu,” katanya kepada saya, “Kau boleh panggil apa sahaja, tapi Dia tetap satu.”
Malah dalam kematiannya, ayah saya masih memberi pengajaran.
Kata-kata terakhirnya kepada saya adalah, “I love you too.” Dan itu adalah kata-kata terakhir saya kepadanya juga – sesuatu yang tidak semua orang berpeluang lakukan.
Kini, hidup saya terasa kosong. Saya hilang pembimbing. Saya hilang arah. Segala yang saya lakukan selama ini adalah untuk membuatnya bangga – untuk dapat bercerita kepadanya tentang pencapaian saya. Tetapi kini, untuk apa lagi?
Legasi Untuk Keluarga
Namun, saya tahu apa yang dia mahu saya lakukan – bangkit, teruskan hidup, dan jangan sesekali mengalah. “Orang baik sentiasa menang,” katanya, “walaupun mungkin lambat dan sakit, tetapi akhirnya, orang baik akan menang.”
Saya harap suatu hari nanti, anak-anak saya akan melihat saya seperti saya melihat beliau – seorang lelaki yang hidup dengan penuh integriti, kasih sayang dan keberanian. Dan saya harap, apabila tiba masanya saya pergi, saya dapat tinggalkan legasi yang sama – legasi seorang lelaki biasa yang mencintai keluarganya sepenuh hati, yang mencintai negaranya tanpa syarat dan yang tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk semua.
Dan jika saya berjaya menjadi separuh daripada lelaki yang ayah saya pernah jadi – saya akan pergi dengan hati yang tenang. - Getaran, 8 Mei 2025
