Kisah Sepasang Selipar Diikat Tali 'Peneman Setia' Di Tanah Suci

7 May 2026 • 10:44 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Kisah Sepasang Selipar Diikat Tali 'Peneman Setia' Di Tanah Suci

Kisah Sepasang Selipar Diikat Tali 'Peneman Setia' Di Tanah Suci

MAKKAH, 7 Mei (Bernama) -- Dalam langkah yang tidak lagi segagah dahulu, seorang wanita warga emas dari Seri Kembangan, Selangor terus mengatur perjalanan di Tanah Suci dengan perlahan, namun penuh ketabahan ditemani sepasang selipar yang diikat dengan tali, simbol kasih seorang suami yang tidak pernah putus.

Bagi Rossilawati Abdul Razak, 65, selipar itu bukan sekadar alas kaki, sebaliknya menjadi “peneman setia” yang menguatkan setiap langkahnya ketika menunaikan ibadah haji, meskipun tubuhnya sudah lama diuji penyakit berat.

Kisah menyentuh hati itu bermula di Madinah apabila sandal khas bagi mengimbangi postur badan yang dipakainya tiba-tiba terputus, sekali gus menyukarkan pergerakannya yang terbatas akibat kaki kanan yang lebih pendek berbanding kaki kiri.

Dalam keadaan serba sukar itu, suaminya Kamaruzaman Othman, 66, tidak menunggu lama. Beliau membeli beberapa pasang selipar sebelum mengikat dan mengubah suainya menggunakan tali mengikut ketebalan tapak yang sesuai dengan keadaan kaki isterinya yang tidak lagi seimbang.

“Dia ikat selipar itu supaya saya boleh berjalan … itulah yang bantu saya bergerak,” katanya di sini hari ini.

Di sebalik kisah selipar itu, tersimpan perjalanan hidup penuh ujian bekas guru itu yang pernah melalui situasi di ambang maut.

Rossilawati disahkan menghidap kanser rektum tahap empat pada penghujung 2014, sebelum menjalani 25 sesi radioterapi dan kemoterapi kerana ketumbuhan yang terlalu besar untuk terus dibedah.

“Alhamdulillah, sampai hari ini saya masih bertahan dan dah bebas daripada kanser itu,” katanya sebak.

Image from: Kisah Sepasang Selipar Diikat Tali 'Peneman Setia' Di Tanah Suci
Kredit: Bernama

Namun, penyakit itu meninggalkan kesan kekal apabila kanser merebak ke tulang paha, menyebabkan struktur tulangnya rapuh dan tidak seimbang, selain komplikasi buah pinggang akibat rawatan radioterapi yang memerlukan pemasangan stent di saluran kencing serta penggunaan beg kolostomi.

Dalam tempoh itu juga, kehidupan hariannya berubah sepenuhnya. Berat badannya pernah susut daripada 80 kilogram (kg) kepada 42 kg, satu detik yang diingatinya sebagai fasa paling lemah dalam hidup.

Baca juga:

Rossilawati berkata sepanjang rawatan dan tempoh kesakitan, suaminya sentiasa berada di sisi menjaga dan memberikan semangat tanpa jemu.

“Kalau tak ada suami saya, saya rasa saya pun tak ada,” katanya.

Image from: Kisah Sepasang Selipar Diikat Tali 'Peneman Setia' Di Tanah Suci
Image from: Kisah Sepasang Selipar Diikat Tali 'Peneman Setia' Di Tanah Suci

Sementara itu, Kamaruzaman berkata walaupun telah membuat rayuan sejak 2016, namun peluang menunaikan haji bersama isterinya adalah sesuatu yang tidak pernah mereka bayangkan memandangkan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan.

“Bila keputusan pemeriksaan kesihatan keluar, memang kami rasa peluang itu sangat tipis. Kami pun tak berani nak cerita pada sesiapa sebab takut kecewa.

“Tapi bila Tabung Haji minta pasport, urusan Nusuk semua berjalan, masa itu baru kami rasa, mungkin memang Allah nak jemput kami berdua,” katanya.

Kamaruzaman berkata walaupun isterinya terpaksa menggunakan kerusi roda bagi sebahagian ibadah, namun mereka tetap semangat untuk memastikan rukun Islam kelima ini terus dilaksanakan sebaik mungkin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved