

Kisah Misteri Kereta Api Zanetti, Didakwa Hilang Bersama Lebih 100 Penumpang Sejak 1911
Kereta api merupakan sebuah pengangkutan yang amat penting terutamanya suatu ketika dahulu di mana pengangkutan udara dan sistem jalan raya masih lagi belum berkembang pesat.
Pengangkutan ini menjadi keutamaan terhadap orang ramai untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan ia juga bertindak sebagai muatan barangan sama ada secara domestik mahupun di eksport ke luar.
Umumnya, kereta api terkenal dengan badannya yang panjang dan mempunyai beberapa gerabak yang bercantum. Jadi, tidak hairan mengapa ia mampu menampung ratusan penumpang dalam satu-satu masa.
Sehingga kini, kereta api masih menjadi salah satu pengangkutan yang digunakan oleh orang awam bahkan telah dinaik taraf dengan pelbagai sistem yang jauh lebih canggih.
Walau bagaimanapun, sepanjang kewujudan pengangkutan darat ini, pelbagai kemalangan dan misteri melibatkan kereta api berlaku termasuklah misteri kehilangan kereta api Zanetti.
Difahamkan, ia telah hilang selama lebih satu abad yang lalu dan masih tidak dijumpai sehingga hari ini dan menjadi perdebatan para pengkaji serta ahli sejarawan.
Mari ikuti kisah menarik ini di bawah.
Kenali Kereta Api Zanetti

Kereta Api Zanetti merupakan sebuah pengangkutan milik syarikat kereta api Itali suatu ketika dahulu. Sebelum tragedi, syarikat kereta api Zanetti telah mempromosikan perjalanan sulungnya kepada pelancong.
Kereta api yang terdiri daripada lokomotif dan tiga gerabak mewah itu bakal membawa penumpang bermula dari stesen Rom ke ibu kota Milan. Sepanjang perjalanan ia akan melalui Lazio, Umbria, Tuscany, Emilia-Romagna dan Lombardy.
Walau bagaimanapun, laluan yang digunakan oleh Zanetti terpaksa melalui satu terowong sepanjang kira-kira satu kilometer yang dianggap terowong terpanjang pernah digali ketika itu.
Seramai 100 daripada penumpang yang menaiki kereta api mewah itu terdiri daripada golongan kelas atasan tempatan dan beberapa ahli syarikat berkenaan. Manakala enam orang lain merupakan pemandu kereta api termasuk kakitangan pengangkutan itu.
Tragedi Kehilangan Kereta Api Zanetti 1911
Kisahnya bermula apabila kereta api itu dalam perjalanan dari Rom bersama 106 penumpang termasuk kakitangan kereta api pada 14 Julai 1911.
Bagaimanapun, sewaktu memasuki terowong antara Emilia-Romagna dan Lombardy selepas beberapa jam berlepas, Zanetti hilang secara tiba-tiba dan tidak pernah muncul kembali.
Oleh itu, pihak polis telah dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan berhubung kejadian misteri itu. Ketika mereka memasuki ke dalam terowong gelap berkenaan, tiada sebarang bukti penemuan berkaitan kereta api ditemui kecuali dua orang individu.
Lebih menimbulkan tanda tanya, tiada sebarang kesan dan tanda-tanda kemalangan membabitkan Zanetti.
Dakwaan Kehilangan Zanetti
Meskipun pihak berkuasa menemukan dua orang selepas beberapa hari pencarian dan berada dalam keadaan yang sangat teruk. Mereka disyaki mengalami gangguan mental dan telah diberikan rawatan. Salah seorang daripadanya turut memberikan keterangan yang tidak masuk akal.
Menurutnya, dia mendakwa terdapat kabus putih yang semakin tebal sewaktu kereta api mula memasuki terowong. Dia memberitahu penumpang di dalamnya mulai panik dan suasana menjadi kelam-kabut.
“Kami berdua terjun dari gerabak itu dan terjatuh atas tanah, itu sahaja perkara yang dapat saya ingat ketika itu,” katanya.
Sementara itu, demi menjaga masa depan dan kredibiliti, syarikat kereta api itu mendakwa misi operasi dan siasatan terpaksa dihentikan ekoran ketika itu Perang Dunia Kedua sedang melanda. Pelepasan bom dari udara juga telah menghalang sepenuhnya akses ke terowong tersebut.
Didakwa Mengembara Dalam Ruang & Masa
Bagaimanapun, beberapa dekad kemudian, seorang doktor pakar psikiatri di Mexico, José Saxino mendakwa kesemua 104 penumpang itu telah dimasukkan ke hospital tempat dia bekerja. Namun, kesemuanya mengalami masalah mental (tiada kesahihan).
Dakwanya, penumpang berkenaan datang dengan menaiki sebuah kereta api dari Rom tetapi tidak memberikan sebarang butiran. Lebih mengejutkan, tiada satu pun kereta api yang datang dari Rom ke Mexico setelah diperiksa.
Kejadian itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan sangsi dengan dakwaan bahawa kereta api itu mengembara dalam ruang dan masa malah ia dianggap sebagai kereta api hantu.
Sehingga kini, tiada bukti mengenai 104 orang yang dilaporkan hilang dalam misteri Kereta Api Zanetti. Kejadian aneh ini kekal menjadi misteri bagi seluruh dunia sehingga kini. Malah ada yang mempersoalkan jika kejadian ini benar-benar berlaku.
Malah, ada yang menegaskan bahawa ia hanyalah kisah rekaan semata-mata.
The post Kisah ‘Urban Legend’ Kereta Api Zanetti Hilang Lepas Masuk Terowong Sejak 1911 appeared first on Siakap Keli.



