
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi mengingatkan orang ramai agar tidak menghukum atau menghina seluruh komuniti pemilik Yamaha RX-Z susulan nahas kemalangan konvoi yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kemaman, Terengganu pada 11 Julai lalu.
Jelas Mohd Firdaus dipetik Sinar Harian, memang tidak dinafikan menegur segelintir individu yang menunggang motosikal secara berbahaya hingga membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain memang sesuatu yang wajar dilakukan.
Berhak Marah Tapi Jangan Sampai Menghina – Mohd Firdaus
Bagaimanapun katanya yang turut berada di lokasi kejadian nahas sebelum ini, ia tidak boleh dijadikan tiket atau alasan untuk melabel semua komuniti permotoran dengan tomahan yang sama.
“Saya sendiri berada di lokasi kemalangan membabitkan hampir 30 motosikal RX-Z yang menyebabkan empat kematian, selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih sejam.
“Keadaan ketika itu cukup memilukan, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan ada anak-anak kecil yang kehilangan ayah dalam sekelip mata.
“Kita semua berhak marah. Kadang-kadang rasa marah itu bercampur dengan sedih. Namun, jangan sesekali kemarahan itu bertukar menjadi penghinaan,” katanya.
Tidak Adil Hukum Semua Penunggang Motosikal, Ada Yang Guna Motosikal Sebagai Medium Rapatkan Ukhuwah
Tambahnya, tidak adil untuk menghukum semua penunggang motosikal kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.
Mohd Firdaus berkata ramai pemilik dan peminat RX-Z menganggap motosikal sebagai medium mengeratkan ukhuwah, melaksanakan aktiviti kebajikan serta membina hubungan persaudaraan sesama komuniti mereka.
“Sebagai contoh, Kelab Pemilik Yamaha RXZ Kelantan bersama kerajaan negeri berjaya menganjurkan program RXZ Forever Legend yang menghimpunkan puluhan ribu peserta dari seluruh negara dan menerima pujian JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Kelantan kerana disiplin peserta yang tinggi, pergerakan teratur serta tiada unsur provokasi sepanjang program berlangsung,” kongsinya.
Himpunan RX-Z Eratkan Hubungan Antara Komuniti – Mohd Firdaus
Ketua Pemuda PAS terbabit percaya bahawa kejayaan pelaksanakan program itu membuktikan bahawa minat terhadap motosikal tidak semestinya ada kaitan dengan budaya rempit.
Bahkan komuniti ini boleh dijadikan contoh kepada masyarakat sekiranya nilai disiplin dan kepimpinan dipupuk dengan baik.
Menegur Tanda Sayang, Hina Pula Hanya Akan Menjarakkan Manusia – Mohd Firdaus
Justeru, Mohd Firdaus berharap agar orang ramai terutamanya anak muda tidak terus menghukum atau mengecam sebaliknya mendidik, menegur dan membimbing peminat motosikal supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya sedia ada.
“Menegur itu tanda sayang. Menghina pula hanya akan menjarakkan hati dan menutup ruang untuk perubahan,” katanya.
30 Penunggang Motosikal Dipercayai Berlumba Di Kemaman, Terengganu
Sebelum ini, nahas di Kemaman, Terengganu telah mengorbankan empat penunggang motosikal Yamaha RX-Z manakala 20 mangsa dilaporkan cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, siasatan mendapati 30 penunggang motosikal terlibat dipercayai sedang berlumba pada waktu kejadian.
Kes Maut Membabitkan Peserta Himpunan RX-Z
Banyak sebenarnya kes sebelum ini melibatkan peserta himpunan RX-Z yang terlibat kemalangan sehingga maut. Malah ada juga kes kecil melibatkan pemilik motosikal RX-Z yang menunggang melulu hingga membahayakan orang lain.
Memetik Kosmo, pada September 2023 lalu, empat peserta himpunan motosikal RX-Z di Kuala Terengganu maut dalam tempoh dua hari sahaja himpunan tersebut berlangsung.
Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan Konvoi RX-Z: Polis Sahkan 4 Maut & Lebih 20 Cedera, Rakaman Nahas Turut Tular Di Media Sosial [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Buat Kerana Patah”- Lana Nordin Mengaku Terpaksa ‘Buat’ Hidung Kerana Kemalangan Bawa RXZ






