
Dalam usaha mengembangkan bakat baharu dalam arena bola sepak tempatan, Glocal Football Academy telah menganjurkan kejohanan Rising Star Grassroots Tournament yang menerima sambutan hangat daripada komuniti setempat serta luar Lembah Klang.
Kejohanan peringkat akar umbi ini berjaya menghimpunkan lebih 500 pemain muda berusia bawah 12 tahun dari pelbagai pasukan di Lembah Klang, Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada pemain cilik mempamerkan bakat sambil merasai pengalaman bersaing dalam suasana kompetitif.
Pengerusi Glocal Football Academy, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa, berkata inisiatif ini sebahagian daripada misi akademi untuk membangunkan bola sepak peringkat akar umbi serta membentuk asas kukuh bagi pembangunan sukan ini di Malaysia.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja platform untuk mencungkil bakat baharu, tetapi juga memupuk nilai-nilai seperti disiplin, kerjasama berpasukan, dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain muda,” katanya ketika ditemui di Brainy Bunch Sports Park, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

