SEDAR tak sedar, Ramadan sudah hampir ke penghujungnya, tinggal beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Aidilfitri pula.
Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan raya, heboh pula di media sosial tentang perdebatan tarikh 1 Syawal. Ada yang kata jatuh pada Jumaat, 20 Mac. Ada pula yang kata jatuh pada Sabtu, 21 Mac.
Polemik ini timbul apabila kalendar digital dalam telefon pintar menetapkan Aidilfitri ialah pada Jumaat, sehari lebih awal daripada tarikh di kalender bercetak.
Yang lucunya, tiba-tiba ramai pula pakar-pakar tak bertauliah mengeluarkan hujah masing-masing, siap buat kiraan falak sendiri.
Merak Jalanan tahu, ramai bimbang sekiranya sekali lagi berlaku ‘raya mengejut’ seperti tahun 2022. Ingat lagi waktu itu ramai yang kelam kabut, tidak kurang yang merungut dan mengeluh seolah-olah berlaku masalah besar.
Dalam masyarakat kita persiapan raya amat penting dan sering ‘diikat kuat' pada tarikh yang dijangka. Cuti kerja dan waktu nak bertolak ke kampung sudah dirancang.
Lemang pula sudah ditempah, malah ada yang siap susun jadual rumah terbuka. Apabila berlaku ‘raya mengejut’ sudah tentulah haru biru kerana perancangan tiba-tiba berubah.
Namun Merak Jalanan melihat, kita sebenarnya terlalu mementingkan budaya persiapan raya berbanding agama. Kita takut ketupat, lemang dan rendang tidak siap di pagi raya.
Takut tidak sempat berada di kampung pada pagi raya. Sedangkan itu semua hanyalah satu tradisi, bukannya wajib dalam agama.
Jadi, daripada sibuk berteka-teki dengan tarikh raya, lebih baik habiskan ibadah Ramadan dengan tenang. Bagi Merak Jalanan, sama ada Aidilfitri jatuh pada Jumaat atau Sabtu, bukan masalah pun. Kita tetap akan beraya!


