“Kita patut buat filem global” – Michelle Yeoh Pertimbang Bekerjasama Dengan Pengarah Tempatan

Entertainment
19 Apr 2023 • 1:45 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, bintang Hollywood kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh mengadakan pertemuan bersama peminat di acara Homecoming Public Fan Meet di Pavilion Kuala Lumpur.

Dalam sidang media, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi ke-95 memberitahu bahawa beliau sangat merindui hidangan tempatan seperti kari laksa, nasi lemak dan nanchoy selain mengatakan itulah perkara pertama dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam berada di tanah air.

Beliau mengatakan pengalaman membesar di Malaysia telah membentuk jati dirinya sehingga menyumbang kepada kejayaan kini.

Antaranya termasuk pengalaman membesar dalam persekitaran dipenuhi kepelbagaian budaya, di mana Michelle merujuk kepada iklan ikonik yang dihasilkan Allahyarham Yasmin Ahmad mengenai kaum dan agama, sempena Hari Kemerdekaan.

Michelle sedia bekerjasama dengan pengarah tempatan

Dalam pada itu, Michelle juga berkongsikan pengalaman sebagai wanita Asia pertama yang berjaya menjulang trofi Oscar selepas hampir empat dekad dalam industri.

Beliau memaklumkan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pengarah atau produksi tempatan asalkan mereka mempunyai keinginan untuk berjaya.

Ujarnya, beliau percaya bahawa ramai orang Malaysia yang berbakat namun peluang tidak diberikan seluas-luasnya.

“Saya rasa kebanyakan masa kita terlalu terkurung dalam ruang yang cuma berputar dalam pasaran kita. Kita patut buat filem untuk global dan lakukannya secara berterusan.

“Tak perlu dibuat untuk ini dan untuk itu. Kemudian, barulah kita boleh bercakap tentang ‘bahasa’ global.

“Saya yakin ramai pembikin filem hebat di negara ini. Pertama sekali, kita kena cari peluang dan platform untuk menunjukkan bakat kita semua,” ujarnya.

Michelle juga menitipkan pesanan agar percaya dengan kemampuan diri dan sentiasa menanam sikap jangan mudah berputus asa.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.