“Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

26 Aug 2026 • 6:48 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Malaysia boleh mengambil iktibar daripada pendekatan China dalam memperkukuhkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan, khususnya menerusi penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti serta pembangunan kawasan luar bandar.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengalaman lawatannya ke China bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan Makanan APEC Ke-11 di Hangzhou memberi ruang untuk Malaysia melihat beberapa pendekatan yang boleh disesuaikan dengan keperluan negara.

Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, beliau turut berkongsi bagaimana China memperkasakan sektor pertaniannya menerusi penggunaan teknologi dan perancangan yang tersusun serta berterusan.

Image from: “Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

Mohamad berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha Malaysia untuk memastikan teknologi yang diperkenalkan dalam sektor pertanian benar-benar memberi manfaat kepada golongan petani, pesawah, penternak dan nelayan.

Sebelum ini, beliau berkata teknologi dalam sektor pertanian hanya boleh dianggap berjaya sekiranya penggunaannya mampu meningkatkan hasil pengeluaran dan menambah pendapatan petani.

“AI penting, teknologi penting tapi akhirnya, ukuran kejayaan bukan pada secanggih mana sistem kita. Ukuran sebenarnya ialah hasil petani bertambah, pendapatan mereka meningkat dan makanan rakyat sentiasa cukup. Itu baru teknologi yang ada guna,” katanya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.

Mohamad berkata, Malaysia sendiri terus memperluaskan penggunaan teknologi menerusi Program Sawah Padi Pintar Berskala Besar (SMART SBB), yang kini melibatkan 18,650 pesawah di 92 lokasi membabitkan lebih 46,500 hektar kawasan sawah.

“Penggunaan mekanisasi, pengurusan yang lebih tersusun dan teknologi membolehkan sesetengah kawasan mencapai hasil sekitar enam hingga tujuh tan metrik sehektar,” katanya.

Image from: “Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

Menurutnya, perkembangan itu membuktikan teknologi yang bersesuaian, digabungkan dengan pengurusan yang baik, mampu meningkatkan hasil pengeluaran petani.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama antara negara juga penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan serantau kekal kukuh dan stabil.

Artikel lain: Mat Sabu tinjau persiapan MAHA 2026, 80% selesai menjelang pembukaan!

Mohamad berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus memperkukuhkan sektor agro makanan negara dengan belajar daripada pengalaman negara lain, namun pendekatan yang diambil perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan.

“Bang Mat percaya Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terus memperkukuhkan sektor agro makanan negara.
“Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain, mengambil pendekatan yang sesuai dengan keperluan kita dan pada masa yang sama terus memperkasakan petani, pesawah, penternak serta nelayan tempatan,” ujarnya.

Image from: “Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

Image from: “Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

Beliau turut menekankan kepentingan memahami sendiri keperluan golongan yang terlibat dalam sektor pertanian bagi memastikan teknologi dan dasar yang diperkenalkan benar-benar praktikal.

Image from: “Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

Mohamad berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan bekalan makanan rakyat mencukupi dan terjamin, selain membina sistem makanan negara yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Sumber: FB Mohamad Sabu

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved