Malaysia perlu pelajari pengalaman China perkasa sektor agromakanan - Mohamad

LocalFood
26 Aug 2026 • 8:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia perlu pelajari pengalaman China perkasa sektor agromakanan - Mohamad
Mohamad Sabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman China dalam memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan menerusi penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti serta pembangunan kawasan luar bandar yang dirancang secara tersusun dan berterusan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus memperkukuh sektor agromakanan negara dengan mengambil pendekatan bersesuaian berdasarkan pengalaman negara lain, tanpa mengabaikan kepentingan pemain industri tempatan.

"China menunjukkan bagaimana sektor pertanian boleh diperkasakan melalui penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti, pembangunan kawasan luar bandar serta perancangan yang tersusun dan berterusan.

"Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain, mengambil pendekatan yang sesuai dengan keperluan kita, dan pada masa yang sama terus memperkasakan petani, pesawah, penternak serta nelayan tempatan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.

Mohamad berkata, perkara itu dikongsikannya dalam mesyuarat Kabinet hari ini, susulan lawatan beliau ke China bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan Makanan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-11 di Hangzhou, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama dengan negara lain juga perlu terus diperkukuh bagi memastikan rantaian bekalan makanan serantau kekal kukuh dan stabil.

"Matlamat akhirnya tetap sama, iaitu memastikan makanan rakyat cukup, bekalannya terjamin dan negara mempunyai sistem makanan yang lebih berdaya tahan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya. - Bernama

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved