
KUALA LUMPUR – Walaupun pertarungan berakhir dengan kekalahan Johan “Jojo” Ghazali menerusi keputusan split decision kepada Ramadan Ondash di pentas ONE Championship, sebuah video di belakang tabir pula mencuri perhatian ramai apabila kedua-dua petarung dilihat berpelukan dan saling berbual sejurus selepas perlawanan.
Dalam rakaman yang kini tular di media sosial itu, Ramadan dilihat mengusap wajah Jojo sambil kedua-duanya berbual mengenai aksi yang baru berakhir, sebelum seolah-olah bersetuju bahawa mereka perlu bertemu sekali lagi di dalam gelanggang.
“Need A Rematch”
Video tersebut dimuat naik dengan kapsyen “Need a rematch, bengkak-bengkak muka masing-masing”, menggambarkan betapa sengitnya pertarungan yang menyaksikan kedua-dua petarung mengalami kecederaan pada wajah.
Dalam rakaman itu, Jojo turut dilihat berkata kepada Ramadan, “You’re good, bro. You’re good,” sebelum kedua-duanya meneruskan perbualan dalam suasana penuh hormat sebagai atlet profesional.
Momen berkenaan mengundang pujian ramai yang menyifatkan kedua-dua petarung mempamerkan semangat kesukanan tinggi walaupun baru sahaja berentap dalam pertarungan sengit selama tiga pusingan.
Bob T20 Terima Penghargaan Ramadan Ondash
Pada masa sama, nama usahawan media sosial Bob T20 turut menjadi perhatian selepas satu lagi video memaparkan Ramadan Ondash mengucapkan penghargaan kepadanya sejurus selepas meraih kemenangan ke atas Jojo Ghazali.
Dalam rakaman itu, Ramadan mengucapkan terima kasih kepada Bob T20 atas sokongan dan tajaan yang diberikan menjelang pertarungan tersebut, sekali gus menguatkan dakwaan sebelum ini bahawa usahawan berkenaan merupakan antara individu yang membantu menaja persiapannya.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada ONE Championship mahupun pihak pengurusan Ramadan Ondash yang mengesahkan status Bob T20 sebagai penaja rasmi petarung berkenaan.
Netizen Mahu Aksi Ulangan
Di ruangan komen, ramai peminat berharap ONE Championship mengatur aksi ulangan memandangkan pertarungan pertama dianggap cukup seimbang dan menghiburkan.
Ada yang berpendapat kedua-dua petarung masih mempunyai banyak potensi untuk dipamerkan, malah aksi penuh hormat selepas tamat perlawanan menjadi bukti bahawa persaingan mereka hanya berlaku di dalam gelanggang, bukannya di luar.
Terdahulu, Ramadan Ondash menewaskan Johan “Jojo” Ghazali menerusi keputusan split decision selepas tiga pusingan pertarungan sengit, sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama Jojo di pentas ONE Championship. – The Malaysian Update
The post “‘Kita Perlu Rematch’ – Video Jojo Ghazali, Ramadan Ondash Berpelukan Raih Perhatian, Bob T20 Dakwa Taja Petarung Lubnan” appeared first on The Malaysian Update.



![[VIDEO] Jojo kecundang, Bob T20 dapat nama](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-07-31-at-11.29.01-PM-1024x576.jpeg)


