'Kita sudah hampir ke penamat, namun...' - Mohd Shuhaily

13 Jun 2024 • 4:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shuhaily.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Meskipun berpuas hati dengan pencapaian oleh anggota serta pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menerima hakikat pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap ibu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada Khamis.

Ini kerana siasat awal kes itu menghala kepada pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Malah beliau sempat merumuskan satu ayat pendek ketika mengakhiri sidang akhbar khas di Bukit Aman, pagi Khamis.

"Proses pertuduhan yang dibuat hari ini adalah keputusan terbaik yang diputuskan antara Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya. We are so close yet so far," katanya.

Pernyataan itu disampaikan secara berkias yang berkemungkinan merumuskan bahawa pihak polis sudah hampir ke penamat kes, namun peruntukan undang-undang mempunyai perspektif yang berlainan.

Menurut Mohd Shuhaily, pasukannya telah menggunakan segala peruntukan undang-undang dalam kes tersebut.

Sepanjang enam bulan siasatan, JSJ Bukit Aman turut menggerakkan semua aset dan logistik dengan setiap butiran terperinci daripada sekecil-kecil fakta, keterangan dan bukti, semuanya dianggap penting dalam menyelesaikan kes berkenaan.

"Siasatan pada mulanya dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh berdasarkan petunjuk dan bukti yang kita peroleh di lokasi kejadian dan bedah siasat.

"Hasil perbincangan mendalam bersama pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR), berdasarkan segala bukti, mereka berpendapat pada masa ini akta yang paling sesuai digunakan adalah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut sekiranya ada arahan daripada pihak TPR.

"Segalanya selepas ini adalah terletak di bawah bidang kuasa pihak pendakwaan," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya pihak polis menyekat komunikasi antara kedua ibu bapanya dengan peguam ketika direman, Mohd Shuhaily memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai hak dalam perkara itu.

"Pihak polis diberikan hak untuk menolak permohonan peguam untuk berjumpa pasangan berkenaan mengikut Seksyen 28A(8) Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Mohd Shuhaily meminta semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung penyataan yang tidak tepat sepanjang siasatan dijalankan polis sebelum ini.

"Segala keterangan penuh boleh diikuti menerusi prosiding perbicaraan di mahkamah yang dijangka Julai ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Siapakah si pelaku yang sanggup membunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin? Ia masih menjadi misteri dan teka teki buat rakyat Malaysia setelah pertuduhan melibatkan ibu bapa Zayn Rayyan adalah mengenai pengabaian dan bukannya penderaan yang menyebabkan kecederaan fizikal. Hari ini, mereka disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Berikut kronologi kes yang menjadi tumpuan sejak minggu lalu. Muzik: Veace D - Flash dari Bensound.com #SinarHarian #SinarTerkini #ZaynRayyan #IbuBapa #Mahkamah #fyp

original sound - Sinar Harian