
PETALING JAYA – Bagaikan penat menjawab soalan berkenaan ‘hari bahagia’, penyanyi dan pelakon Farahdhiya percaya perihal itu tidak perlu diutarakan orang luar yang tiada kena-mengena dengan kisah cintanya.
Menurut Farahdhiya atau nama lengkapnya, Nur Farahdhiya Mohd. Amin, individu yang rapat dengannya juga tidak pernah bertanya soalan tentang kahwin.
“Pendapat saya, kalau tak kenal rapat, tak perlu tiba-tiba secara rawak tanya soalan kenapa tak kahwin lagi? Tak nak kahwin ke? Tak ada orang nak ke?
“Sebab yang kenal rapat pun memang tak akan tanya soalan begitu,” tulisnya dalam akaun Threads.
Tambahnya lagi, soalan seperti takkan tak ada orang nak? Antara yang sepatutnya tidak ditanya.
“Lagi satu soalan ‘takkan tak ada orang nak?’. Seriuslah? Takut kalau saya letak senarai orang yang pernah cuba saya, kot kot nama teman lelaki atau suami awak pun ada sekali.
“Jadi jangan normalisasikan tanya soalan yang terlalu peribadi. Jika anda ambil berat, sekadar doa yang baik-baik pun kita dah cukup gembira dan bersyukur sangat,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu sekali gus berpandangan yang sudah berkahwin pun sering ditanya tentang soal anak.
Soalan tentang kahwin seringkali dikaitkan dengan selebriti jelita itu memandangkan usianya kini yang sudah mencecah 42 tahun namun masih selesa hidup solo. – KOSMO! ONLINE
The post Kita tak rapat, tak perlu tanya bila nak kahwin – Farahdhiya appeared first on Kosmo Online.
