“Kita Tak Tahu Sama Ada Orang Itu…” - Aizat Saha Cuba Elak Buat Video Content Guna Nama Selebriti, Hanya Mahu Fokus Hasil Video Manfaat

22 Mar 2025 • 12:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon dan pempengaruh, Aizat Saha cuba mengelakkan diri daripada menyebut mana-mana nama sepanjang dia menghasilkan kandungan digital. 

Jelas Aizat, dia mengambil pendekatan itu bagi mengelakkan ada mana-mana individu kurang selesa atau terasa hati dengannya.

“Saya sendiri mengambil pendekatan untuk tidak melibatkan mana mana artis mahupun menggunakan nama nama mereka dalam setiap konten yang dihasilkan. 

“Kalau korang perasan, kebanyakkan konten saya semua melibatkan diri sendiri, tidak melibatkan mana mana pihak sebab kita tak tahu sama ada orang yang kita jadikan bahan itu selesa atau tidak,” katanya kepada Gempak. 

Aizat berkata demikian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Aizat Saha dan HeetamPuteh berkongsi rezeki yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, pelakon drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi ini turut menasihati para pencipta kandungan agar lebih berhati-hati dalam menggunakan nama selebriti tempatan dalam kandungan mereka.

Baginya, isu hangat yang sering berlaku adalah satu proses pembelajaran buat mereka yang baru memulakan kerjaya dalam dunia mencipta kandungan.

“Sebolehnya, janganlah libatkan pihak lain. Apatah lagi guna nama seseorang sebagai bahan jenaka. 

“Mungkin kebanyakkan pencipta kandungan sekarang datang dari kalangan yang muda, jadi ini adalah proses membesar dan dewasa untuk mereka. 

“Mereka perlukan banyak pengalaman dan saya percaya semakin mereka dewasa mereka akan faham apa yang perlu dan tidak dalam menghasilkan sesebuah konten. 

“Biarlah mereka membuat kesilapan sekarang untuk dijadikan pengajaran pada masa akan datang,” kongsinya. 

Bagaimanapun, Aizat turut menegaskan seorang pempengaruh tidak seharusnya terlalu bergantung kepada jumlah pengikut yang ramai di media sosial.


Baginya, pengikut kini semakin bijak dalam menilai sama ada seseorang pencipta kandungan itu mampu membawa pengaruh positif atau sebaliknya.

Oleh itu, dia berharap agar setiap pempengaruh dapat menjadi contoh yang baik buat pengikut mereka di platform digital.

“Kalau boleh gunakanlah pengaruh yang ada dan pengikut yang ramai untuk sebarkan contoh yang baik buat semua orang,” ujarnya.