
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno enggan mengambil pusing kritikan netizen mengenai busana Puteri Gunung Ledang yang diperagakannya bersama pelakon, Mila Mohsin dan Tiara Jacquelina semasa membuat pertunjukan fesyen jenama Behati untuk Kuala Lumpur Fashion Week, baru-baru ini.
Sedar perkara itu diperkatakan di media sosial, sebagai anak seni, Aisha akur dengan pandangan netizen dan akan mengambil maklum kritikan positif untuk penambahbaikan di masa akan datang.
“Pandangan orang kita terima, kita harus jangkakan orang akan bercakap tentang fesyen, pembawaan diri dan cara kita berkomunikasi.
“Segalanya diperhatikan. Itulah risiko bergelar anak seni, segalanya diperhatikan.
“Jadi saya manfaatkan yang baik sahaja, ambil yang jernih, buang yang keruh. Kami ambil apa yang diperkatakan kalian semua.
“Insya-Allah kami akan pantau satu persatu. Kami cuba untuk bersikap neutral,” katanya dalam sidang media konsert separuh akhir Big Stage x Rocketfuel semalam.
Aisha dalam masa yang sama memaklumkan dia tidak mempunyai hak untuk menetapkan busana Gusti Putri yang digayakan dalam pementasan itu nanti.
Katanya dia sedia maklum mengenai busana yang digayakan justeru tidak ada masalah untuk memakainya di hari pementasan nanti.
“Saya ada menanyakan cara tentang berpakaian watak Puteri Gunung Ledang. Sejak 20 tahun lalu, pemakaiannya sudah sedemikian rupa. Jadi kami ikut sahaja, atas nama seni,” katanya lagi.
Sementara itu, penyanyi lagu Sutera itu berkata tidak timbul soal perdebatan di media sosial mengenai busana PGL kerana apa yang dilihat hanyalah netizen memberikan pandangan masing-masing.
“Saya tidak melihat berlaku perdebatan di media sosial mengenai perkara ini. Apa yang jelas netizen memberikan pandangan tentangnya.
“Kami menghormati setiap pandangan. Ini semua atas tuntutan seni. Insya-Allah, sekiranya ada penambahbaikan, kami akan maklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama Aisha mengakui dia tidak berhak menetapkan busana yang akan dipakai dalam pementasan tersebut.
“Saya tidak pasti pemakaian alaf baharu PGL bagaimana. Dan bukan tempat saya untuk bercakap tentang itu.
“Pendapat orang kadangkala mampu mengubah persepsi. Kita lihat jika ada perubahan yang dilakukan. Saya tidak boleh mengulas lanjut tentangnya.
“Apa pun saya teruja untuk pementasan PGL. Saya tidak sabar untuk melihat reaksi pembeli tiket,” kongsinya.
Netizen baru-baru ini mengkritik gaya pemakaian gusti Puteri yang digayakan ketiga-ketiga selebriti tersebut kerana dianggap seksi dan mendedahkan. – UTUSAN
The post Kita terima pandangan netizen – Aisha Retno dikritik, baju Gusti Putri dikatakan seksi appeared first on Utusan Malaysia.




