‘Kita Tidak Tunduk, Tapi Bawa Iltizam Baharu Perjuangkan Order Dunia’ - PM

WorldPolitics
14 Oct 2025 • 8:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia memilih untuk tidak tunduk kepada kepincangan yang berlaku dalam dunia, sebaliknya tampil dengan sikap serta iltizam baharu dalam memperjuangkan order dunia, berasaskan nurani dan prinsip kemanusiaan sejagat.

Menegaskan pendirian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia saat ini sedang diuji dengan surutnya nilai keadilan dan kemanusiaan dan institusi yang dahulunya menjadi sandaran kini kian kehilangan arah.

Menurut beliau, Malaysia menolak sikap tempang yang membenarkan penjajahan moden dan penindasan atas nama kuasa dan kepentingan.  

“Dalam menyuarakan pendirian mengenai Gaza, kita sedar bahawa bungkam bererti mengakui persekongkolan. 

“Malaysia tidak mahu menjadi penonton kepada kehancuran dan kezaliman, maka kita bersuara kerana keyakinan moral dan kuasa mesti berpadu,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, keamanan sejagat tidak bermaksud gencatan senjata semata, tetapi ia harus menjadi kebangkitan kepada harga diri dan hak untuk rakyat Palestin menentukan masa depan sendiri. 

“Sementalahan, Malaysia akan terus mengangkat dasar ‘active non-alignment’, iaitu bukan berkecuali tanpa pendirian, tetapi bebas berdasarkan prinsip. 

“Ini wajah yang madani yang berani bersuara, teguh dengan nilai, dan yakin bahawa menjelmakan dunia yang adil dan manusiawi bukan utupia, tetapi tanggungjawab moral bersama dunia menolak kezaliman dan penindasan,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memberitahu, Malaysia tidak diundang ke Sidang Kemuncak Gaza di Sharm al-Sheikh kerana tidak memberikan dukungan tanpa syarat terhadap pelan damai 20 perkara yang dikemukakan. 

Jelas beliau, syarat diberikan kerajaan adalah jelas, iaitu pelan berkenaan perlu bersifat ‘comprehensive solution’.

“Pelan dengan sifat itu tentunya mencakup persoalan membawa pulang warga Palestin yang terusir, mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat, serta menamatkan sepenuhnya penjajahan dan kezaliman rejim Zionis Israel di Tebing Barat. 

“Pelan 22 butiran tersebut setelah diteliti tidak menyentuh soal hak rakyat Palestin, kedaulatan negara mereka, mahupun instrumen pendudukan (occupation) yang masih berterusan. Justeru, Malaysia tidak tergamak untuk mendukung sesuatu yang mengabaikan prinsip asas tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ketidakhadiran Malaysia di Sharm al-Sheikh bukan bermaksud menjauhkan diri, tetapi sebagai manifestasi pendirian nasional yang berani dan berprinsip. 

“Diplomasi bagi kita adalah wahana menjulang nilai kemanusiaan dan hak bangsa tertindas, tidak sekadar upacara atau tuntutan protokol semata,” katanya. - Getaran, 14 Oktober 2025