KK Mart Bidor, Perak dibaling bom petrol

26 Mar 2024 • 4:14 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, Perak dilaporkan telah dibaling dengan satu objek dipercayai bom petrol pada jam kira-kira 5 pagi tadi. Namun begitu, bom yang dibaling tidak meletup.

Ketika kejadian, beberapa pekerja dilaporkan berada dalam premis berkenaan namun tiada kecederaan yang berlaku.

Susulan itu, pekerja premis berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Terdahulu, KK Mart mencetuskan kontroversi dan tular apabila penemuan kalimah Allah yang tertera pada stoking di kedai KK Mart Bandar Sunway. Situasi tersebut telah mencetuskan kemarahan orang ramai terutamanya umat Islam.

Rentetan itu juga, kilang dan syarikat berkenaan telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, pengasas KK Mart dan isteri serta tiga pengarah syarikat berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Sementara itu, di ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan individu yang membaling bom petrol tersebut. Kata mereka, tindakan itu mencerminkan tindakan yang bodoh.

“Boikot saja, jangan buat benda bodoh. Buat pada ahli keluarga kau yang kerja dalam tu, cuba fikir sikit,” kata netizen.

“Tak perlu guna kekerasan! Boikot saja dah cukup,” kata netizen yang lain.