Polis sahkan kejadian KK Mart di Bidor dilempar bom petrol

26 Mar 2024 • 7:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis mengesahkan kejadian sebuah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian berlaku pada 5.35 pagi sebelum disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan berhubung kejadian tersebut pada 8.49 pagi.

“Pengadu berusia 20 tahun itu memaklumkan ketika sedang bekerja mendengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar untuk memeriksa keadaan.

“Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,“ katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersial Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata pemburuan individu terlibat sedang dijalankan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan kita juga sedang menyiasat rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan,“ katanya.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norseha Baharudin di talian 0177964459. -Bernama