liza26/11/2026 - 11:46 Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Chai Kee Kan (empat dari kiri) pada majlis pelancaran draf prospektus sempena IPO KK Mart hari ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – KK Mart Retail Berhad menyasarkan untuk meningkatkan rangkaian kedainya kepada 1,500 cawangan di seluruh negara menjelang 2028 menerusi rancangan pengembangan perniagaan yang akan turut dibiayai hasil tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM462 juta.
Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Disember 2026 dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.9 bilion.
IPO itu membabitkan tawaran sehingga 840 juta saham pada harga runcit RM0.55 sesaham merangkumi 210 juta saham baharu dan 630 juta saham sedia ada.
Daripada keseluruhan tawaran itu, KK Mart dijangka memperoleh hasil kasar RM115.5 juta daripada terbitan saham baharu manakala baki RM346.5 juta merupakan hasil penjualan saham sedia ada oleh pemegang saham penjual.
Peruntuk RM25 juta untuk pembukaan kedai baharu
Berdasarkan prospektus IPO, sebanyak RM25 juta daripada hasil terbitan saham baharu akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos pembukaan kira-kira 192 kedai baharu di bawah jenama KK Supermart, KK Concept dan KK Signature di seluruh negara.
Syarikat ketika ini mengendalikan 1,106 cawangan di Malaysia dan turut merancang membuka 40 kedai baharu menjelang 31 Disember 2026 sebelum menambah 192 lagi cawangan dalam tempoh sembilan bulan berikutnya.
Daripada 192 cawangan baharu itu, sebanyak 99 akan dibuka di kawasan tengah Semenanjung Malaysia, diikuti 40 di selatan, 23 di pantai timur, 23 di utara dan tujuh di Malaysia Timur.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Chai Kee Kan atau lebih dikenali sebagai KK Chai berkata, Malaysia masih mempunyai ruang besar untuk pertumbuhan kedai serbaneka berikutan tahap penembusan pasaran yang masih rendah berbanding beberapa negara Asia lain.
Beliau berkata, Kuala Lumpur mempunyai kira-kira 14,000 penduduk bagi setiap kedai serbaneka berbanding serendah 1,000 penduduk bagi setiap kedai di pasaran seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

ARTIKEL BERKAITAN: KK Mart meterai perjanjian taja jamin dengan Maybank IB bagi IPO di Pasaran Utama
IPO selepas kontroversi pada 2024
KK Mart sebelum ini merancang untuk disenaraikan lebih awal, namun IPO berkenaan ditangguhkan susulan kontroversi penjualan stoking tertera perkataan 'Allah' di salah sebuah cawangannya pada 2024.
Isu itu mencetuskan kontroversi di seluruh negara sehingga beberapa premis rangkaian kedai serbaneka itu turut menjadi sasaran serangan bom petrol.
Chai berkata, syarikat mengambil langkah memperkukuh persediaan sebelum meneruskan rancangan penyenaraian termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan rantaian bekalan bagi memastikan perniagaannya berada dalam keadaan lebih bersedia.
Beliau berkata, penyenaraian awam sememangnya sebahagian daripada perjalanan perniagaan KK Mart, manakala dana yang diperoleh akan membantu membiayai fasa pertumbuhan seterusnya selain memberi ganjaran kepada pekerja lama dan rakan niaga yang menyumbang kepada perkembangan kumpulan.
Perkukuh kemudahan pengedaran dan teknologi
Selain pembukaan kedai baharu, KK Mart memperuntukkan RM48.4 juta daripada hasil IPO untuk pengembangan pusat pengedaran, manakala RM28 juta lagi bagi pelaburan dalam inisiatif digital, perkakasan dan perisian teknologi maklumat.
Syarikat turut merancang meningkatkan kapasiti pusat pengedarannya termasuk memindahkan kemudahan sedia ada di Balakong ke pusat pengedaran lebih besar di Lembah Klang menjelang suku pertama 2029.
Dalam perkembangan kewangan, KK Mart mencatatkan hasil RM1.77 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), meningkat daripada RM1.57 bilion pada FY2025. Keuntungan selepas cukai pula meningkat kepada RM102.48 juta berbanding RM96.99 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut Bloomberg, KK Mart mendakwa menguasai lebih 70% bahagian pasaran dalam segmen kedai serbaneka 24 jam di Malaysia, tidak termasuk pesaing seperti 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad yang mempunyai format operasi berbeza.
KK Mart memulakan perniagaannya dengan sebuah kedai di Kuala Lumpur pada 2001 sebelum berkembang kepada rangkaian kedai serbaneka 24 jam yang kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. - DagangNews.com






