KK Mart Sungai Isap: Polis Pahang Rakam Keterangan 4 Individu

3 Apr 2024 • 8:29 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman. - gambar BERNAMA

KUANTAN - Polis Pahang telah mengambil keterangan empat individu bagi membantu siasatan kes cawangan KK Mart Sungai Isap di sini yang dibaling bom petrol atau 'molotov cocktail' sehingga menyebabkan kebakaran kecil pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata empat individu berkenaan termasuk pengadu dan saksi serta akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup dari kawasan berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

"Saya sudah minta Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) meningkatkan rondaan di kesemua 15 cawangan KK Mart dan dua stor di Pahang," katanya ketika ditemui media pada Program Pencegahan Jenayah Polis Pahang di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini, semalam. 

Yahaya turut menasihatkan semua pihak supaya tenang dan tidak mengambil tindakan sendiri serta sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

Pada 30 Mac lepas, cawangan KK Mart yang baru beroperasi dua minggu itu dibaling bom petrol oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan empat rak jualan serta beberapa barangan jualan rosak. - BERNAMA