SERI ISKANDAR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan langkah penguatkuasaan dalam masa terdekat bagi menangani penularan isu ‘vape zombi’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu sedang diperincikan susulan kebimbangan terhadap penggunaan rokok elektronik (vape) sistem terbuka yang berisiko disalah guna dengan campuran bahan terlarang iaitu dadah.
"Ini adalah perkara yang sangat KKM perhatikan. Kita mengambil sikap pertamanya untuk memperkukuh penguatkuasaan.
"Dalam waktu terdekat ini, kita akan membuat pengumuman-pengumuman tertentu mengenai langkah-langkah yang akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis perasmian Hospital Seri Iskandar di sini pada Khamis yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dzulkefly berkata, KKM turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membanteras isu berkenaan secara menyeluruh.
"Semua sudah dimaklumkan dan kita dalam proses (penguatkuasaan)," katanya.
Sebelum ini KKM menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu vape termasuk dari sudut perundangan dan impak kesihatan, susulan laporan mengenai penjualan bahan terlarang termasuk dadah jenis furanyl fentanyl dalam peranti vape yang tular di pasaran.
Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melancarkan Op Vape 1.0 di seluruh negara bermula 13 hingga April lalu membabitkan rampasan RM4.6 juta.






