Sultan Perak rasmi Hospital Seri Iskandar

LocalHealth & Fitness
14 May 2026 • 3:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Perak rasmi Hospital Seri Iskandar
Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan meninjau bangunan sempena Majlis Perasmian Hospital Seri Iskandar pada Khamis. - Bernama
Image from: Sultan Perak rasmi Hospital Seri Iskandar
Bangunan Hospital Seri Iskandar yang dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Khamis. - Bernama

PARIT - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hospital Seri Iskandar di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda jam 11 pagi diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Baginda kemudian berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum melawat pameran, disusuli majlis santapan dan melawat bangunan hospital.

Hospital yang dibangunkan di kawasan seluas 7.6 hektar dengan kos sekitar RM162.3 juta itu, mempunyai kapasiti kira-kira 76 katil merangkumi enam blok bangunan setinggi tiga tingkat.

Kemudahan kesihatan baharu itu mula beroperasi secara rasmi pada Disember 2024 dan kini berperanan sebagai hospital utama di daerah Perak Tengah menggantikan fungsi Hospital Changkat Melintang yang telah beroperasi sejak 1971.

**media[3520434]**

Hospital yang disokong tenaga kerja seramai 401 kakitangan itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk kecemasan dan trauma, perubatan am, pembedahan, pediatrik serta obstetrik dan ginekologi (O&G), selain turut menyediakan kepakaran dalam bidang ortopedik, psikiatri, oftalmologi dan hemodalisis.

Menggunakan konsep kluster, Hospital Seri Iskandar beroperasi dengan sokongan kepakaran daripada Hospital Seri Manjung sebagai hospital pakar utama, sekali gus memastikan akses rawatan lebih menyeluruh kepada penduduk setempat.

Dalam sembah ucapannya, Dzulkefly berkata, pembangunan Hospital Seri Iskandar merupakan antara usaha memperkasa kesejahteraan sosial di bawah Agenda Perak Sejahtera 2030, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.

Menurutnya, hospital tersebut dibina tanpa sebarang kelewatan dan menjadi simbol komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti kepada lebih 94,000 penduduk di 12 mukim di Perak Tengah.

"Jika dahulu, warga emas dari Pasir Salak atau ibu-ibu dari Pulau Tiga mungkin terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pakar, kini kemudahan bertaraf dunia sudah berada di depan mata mereka.

“Sehingga kini, hampir 40,000 pesakit telah mendapatkan rawatan di hospital ini, sekali gus membuktikan peranannya sebagai nadi kehidupan masyarakat setempat,” katanya.