KKM Minta AstraZeneca Buat Penjelasan Pasal Kesan Sampingan Vaksin Covid-19

Health & Fitness
2 May 2024 • 4:54 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kerajaan bakal meminta penjelasan daripada firma farmaseutikal, AstraZeneca berhubung dengan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meminta wakil daripada firma itu untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti dan telus kepada semua pihak di negara ini.

“Kita boleh minta wakil AstraZeneca untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti. Saya lebih mahu kalau ia menyebut secara telus kepada semua (iaitu) rakyat dan media.”

“Mereka mesti bertanggungjawab seperti mana kita juga mesti bertanggungjawab. Tak ada apa yang mahu kita sembunyikan dan kita pertahankan mereka.”

“Mereka firma farmaseutikal besar dan pembuat vaksin. Mereka mesti memberikan penerangan dan pencerahan bukan sahaja kepada rakyat di negara kita, tetapi secara global.”

Sebelum ini, syarikat gergasi farmaseutikal AstraZeneca dilaporkan ada mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Mereka menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford yang boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menggesa agar semua pihak tidak cepat membuat rumusan berkait kenyataan dibuat oleh Firma Farmaseutikal AstraZeneca itu. Malah, beliau juga mengingatkan bahawa penggunaan vaksin ini mempunyai manfaat dan kebaikannya.

Sumber : Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.