
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memohon maaf susulan ketiadaan wakil kementerian itu ketika giliran menjawab soalan ketiga yang dikemukakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan di Dewan Rakyat pagi tadi.
KKM berkata, keadaan itu berlaku susulan perubahan mendadak Aturan Urusan Mesyuarat apabila soalan kedua terpaksa ditangguhkan pada saat akhir.
Menurutnya, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib sebenarnya sudah hadir ke Parlimen dan sedang mengadakan perbincangan akhir bersama pegawai kementerian di luar dewan sebagai persiapan menjawab soalan ketiga.
“Namun begitu, soalan kedua terpaksa ditangguhkan pada saat akhir susulan kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas yang sepatutnya mengemukakan soalan tersebut.
“Kelewatan ini menyebabkan giliran Aturan Urusan Mesyuarat melangkau terus kepada soalan ketiga secara drastik. Perubahan aliran yang mendadak ini menjadi punca utama Timbalan Menteri tidak sempat memasuki dewan tepat pada waktunya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, KKM berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pula tidak dapat berada di Dewan Rakyat kerana terikat dengan tugasan rasmi di luar kawasan.
Menurutnya, Dzulkefly menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“KKM sentiasa menjunjung tinggi kemuliaan institusi Parlimen dan menghormati hak Ahli-Ahli Parlimen.
“KKM ingin memohon maaf atas kesulitan teknikal ini,” katanya.
KKM turut memaklumkan Hanifah sudah bertemu Zahir dan memberikan jawapan terperinci secara bertulis berhubung persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Wangsa Maju itu. – UTUSAN
The post KKM mohon maaf tiada wakil ketika sesi soal jawab di Parlimen appeared first on Utusan Malaysia.






