
BARU-BARU ini ketika saya menonton persidangan Dewan Rakyat secara langsung di televisyen, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam terpaksa melangkau beberapa soalan daripada ahli parlimen-ahli parlimen untuk dijawab kerana mereka tidak berada di dalam dewan.
Saya bertanya di dalam hati – Sudah balik? Pergi minum? Atau tidak datang langsung? Rugi betul, apabila soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat (YB), tiba giliran untuk dijawab, YBnya hilang pula entah ke mana.
Beri soalan lisan atau bertulis, mahu dijawab secara bertulis sajakah? Tidak peduli apa pun isi jawapannya, asalkan berjawab dan tidak ada soalan tambahan atau susulan.
Selalunya, menonton sidang parlimen, ia sering membuahkan persoalan kepada kita, bukan kerana perbahasannya terlalu berat hingga kita tidak faham, tetapi kerana melihat banyaknya kerusi yang kosong.
Murid-murid sekolah yang datang menyaksikan sidang dewan berlangsung, pasti tertanya-tanya. Banyaknya kerusi kosong. Ingatkan ponteng berlaku di sekolah atau tempat kerja saja. Di dewan yang mulia pun ramai yang tidak hadir.
Sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan yang sepatutnya menjadi medan paling baik untuk dimanfaatkan untuk rakyat menuntut jawapan, dibiarkan begitu saja.
Justeru, jawapan untuk soalan-soalan tersebut terpaksa dilangkau mengikut peraturan mesyuarat untuk menjimatkan masa.
Di manakah perginya gah suara mereka-mereka ini? Ketika berkempen dalam pilihan raya bukan main lagi, yang tidak pandai masak rendang pun, tiba-tiba boleh mengacau rendang di kuali besar bersama rakyat.
Perangai ‘ponteng’ dewan ini bukanlah perkara baharu. Namun, apabila ia membabitkan ketiadaan ahli parlimen ketika soalan sendiri mahu dijawab, ia bukan lagi sekadar isu keculasan, tetapi penghinaan terhadap institusi Parlimen dan mandat rakyat.
Di luar dewan, dalam media sosial, merekalah jaguh. Berkicau di aplikasi X, Facebook atau Threads membuat video siaran langsung di TikTok, atau bertelingkah mengeluarkan kenyataan media yang berapi-api. Tetapi apabila tiba masa untuk berhadapan dengan Menteri atau Timbalan Menteri untuk mendengar jawapan rasmi secara bersemuka, dan membantah dasar dengan fakta, dewan yang mulia itu tidak ‘menyala’ seperti di luar.
Sikap acuh tak acuh ini tentulah sangat mengecewakan. Sebabnya, menjadi ahli parlimen di negara ini bukanlah satu kerja amal tanpa imbuhan.
Mereka ini ada elaun tetap bulanan sebanyak RM25,700 untuk setiap ahli parlimen. Itu belum dikira elaun kehadiran sidang Parlimen sebanyak RM400 sehari, elaun hidup harian RM100 sehari, serta pelbagai kemudahan pemandu, tol, dan keraian yang jika dihimpunkan mencecah berpuluh ribu ringgit sebulan bergantung kepada urusan rasmi.
Bayangkan, RM400 sehari hanya untuk hadir duduk di dalam dewan! Rakyat marhaen perlu membanting tulang berminggu-minggu untuk membawa pulang angka sebanyak itu.
Justeru, apabila mereka mengambil remeh kehadiran, ia adalah satu bentuk pengkhianatan amanah yang sangat nyata.
Maka tertanya juga, adakah mereka ini boleh diganti dengan kecerdasan buatan (AI)? Yelah sekarang ini, sikit-sikit AI. Pekerja pun mahu diganti dengan AI. Yang bijak dan boleh buat kerja, AI sajalah. Manusia biar hilang kerja. AI ambil alih semuanya.
Apa pun, kita wajar menjenguk ke negara luar bagaimana disiplin parlimen mereka dikuatkuasakan.
Di United Kingdom, menerusi sistem House of Commons, ketidakhadiran Ahli Parlimen dikawal ketat oleh pegawai parti yang dipanggil Chief Whip. Mereka yang gagal hadir tanpa alasan kukuh bagi undian penting boleh dikenakan tindakan disiplin parti termasuk dipecat daripada kaukus.
Di Australia dan India, isu kuorum dewan dipandang berat. Jika bilangan ahli dewan tidak mencukupi, sidang boleh ditangguhkan serta-merta, sekali gus memberikan tamparan imej yang memalukan kepada parti pemerintah mahupun pembangkang yang gagal mendisiplinkan wakil mereka.
Di beberapa negara maju, ketidakhadiran berterusan tanpa sebab boleh menyebabkan pemotongan elaun secara automatik.
Hakikatnya, kritikan orang ramai serta tokoh politik sendiri terhadap isu ini sudah lama kedengaran.
Malah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat sendiri, Tan Sri Johari Abdul, pernah secara sinis membahagikan wakil rakyat kepada tiga kategori: the good, the bad, dan the ugly.
Kategori the bad merujuk kepada yang selalu banyak komplen itu ini manakala the ugly merujuk kepada mereka yang langsung tidak muncul di Parlimen, tetapi di luar berlagak seperti jaguh rakyat.
Hakikatnya juga, kita sudah terlalu biasa melihat Dewan Rakyat bertukar menjadi ‘gelanggang hantu’ pada sebelah petang.
Justeru, ramai mempersoalkan, mengapa rakyat dikenakan tindakan tatatertib tegar jika ponteng kerja, tetapi golongan elitis politik ini boleh melepaskan diri begitu sahaja?
Lantas, bagaimana kita mahu menangani isu yang merosakkan imej demokrasi negara ini? Sudah tiba masanya Parlimen Malaysia melaksanakan reformasi institusi yang lebih tegas dan berani.
Pertama, laksanakan pemotongan elaun kehadiran secara mandatori. Cadangan agar elaun harian RM400 tidak dibayar jika nama tidak direkodkan dalam sistem biometrik dewan pada waktu-waktu tertentu mesti dikuatkuasakan tanpa tolak ansur. Jangan biarkan mereka sekadar ‘punch card’ pada waktu pagi, kemudian hilang ke kafe atau pulang ke rumah.
Kedua, paparkan rekod kehadiran secara terbuka di laman web rasmi Parlimen. Menyiarkan nama ahli parlimen yang kerap ponteng secara telus membolehkan pengundi menilai sendiri prestasi wakil rakyat mereka. Biar pengundi tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang sekadar makan gaji buta.
Ketiga, perkasakan kod etika dan peraturan mesyuarat. Peraturan sedia ada di bawah Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerusi boleh diisytiharkan kosong jika tidak hadir enam bulan berturut-turut. Namun, tempoh itu terlalu lama dan longgar.
Kita perlukan mekanisme penalti domestik dewan yang lebih pantas seperti penggantungan tugas atau sekatan peruntukan kawasan bagi mereka yang mempunyai peratusan kehadiran bawah tahap minimum tanpa alasan rasmi atau masalah kesihatan.
Rakyat menghantar wakil ke Parlimen untuk menggubal undang-undang, menyemak imbang kerajaan, dan menyuarakan masalah mereka, bukan untuk melihat kerusi kosong.
Ahli Parlimen harus sedar, status YB bukan sekadar gelaran megah untuk dibawa ke majlis keraian atau diletakkan pada plat kenderaan. Ia adalah beban akauntabiliti yang berat.
Jika Parlimen yang menjadi acuan undang-undang negara pun dicemari dengan sikap tidak berdisiplin penggubalnya, bagaimanakah kita mahu mendidik masyarakat luar untuk patuh kepada undang-undang?
Sudah-sudahlah menjadi jaguh dalam media sosial. Masuklah ke dewan, duduk di kerusi yang dipilih rakyat, dan jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Barulah datang rasa hormat.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.
The post Soalan ada, tapi YB di mana? appeared first on Utusan Malaysia.






