KKM Pandang Serius Serangan Siber Terhadap Dr Jessie

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 5:02 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

KKM Pandang Serius Serangan Siber Terhadap Dr Jessie

CHUKAI, 8 Sept (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius serangan siber terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu yang menjadi saksi dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata serangan siber terhadap seorang pakar perubatan seperti Dr Jessie yang menjalankan tugas profesionalnya adalah tidak wajar kerana boleh mencemarkan martabat profesion perubatan negara.

“Kita boleh pertikai apa pun sahaja tidak mengapa tetapi sampai ke paras buli secara siber itu pada saya sangat tidak wajar,” katanya kepada pemberita selepas sesi INTAN Minister’s Conversation 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur di sini hari ini.

Beliau berkata berkata semua pihak harus menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan serta mengiktiraf integriti dan kredibiliti profesion perubatan yang berkhidmat berdasarkan fakta serta prinsip sains.

Dzulkefly berkata perkara itu penting dalam mewujudkan suasana harmoni di negara ini dan masyarakat tidak seharusnya melakukan sesuatu yang menjejaskan moral petugas kesihatan.

“Kita sedia maklum, mereka (petugas kesihatan) terbeban dengan kerja dan tugas yang berat. Saya harap semua akan dapat menghormati proses kehakiman ini,” katanya.

Sebelum ini polis mengesahkan membuka siasatan susulan laporan daripada Dr Jessie selepas menerima ugutan di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Terdahulu sesi INTAN Minister’s Conversation 2025 yang bertemakan “Reformasi Pembiayaan Kesihatan: Mencapah Mendepani Cabaran” dihadiri hampir 900 penjawat awam dari Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Selain memberi pencerahan mengenai hala tuju baharu pembiayaan kesihatan negara selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan awam yang lebih mampan, inklusif, dan berdaya tahan, sesi pada hari ini juga memberi peluang kepada peserta bertanyakan pelbagai isu berbangkit kepada Dr Dzulkefly.

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved