
TAWAU: Tohmahan oleh pengguna media sosial berkaitan kes Zara, termasuk ugutan jenayah terhadap pakar patalogi Dr. Jessie Hiu adalah keterlaluan, menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi FadzilBeliau memberi peringatan bahawa rakyat berhak untuk bersuara tetapi ada had dan batasnya dan tidaklah sehingga memfitnah dan mengaibkan seseorang sehingga berlaku perlanggaran undang-undang negara.
“Contoh yang amat saya kesali adalah seorang bekas guru besar di sebuah sekolah di Semporna ditangkap kerana menyebarkan atau mengeluarkan kenyataan dalam media sosial yang bersifat ugutan jenayah terhadap Dr. Jessie yang merupakan saksi pertama dalam prosedur inkues kes Zara.
“This is too much (Ini keterlaluan). Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya selepas peluncuran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (Prime) sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Kg Sungai Imam, pada Ahad.
Fahmi berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk M. Kumar S. Muthuvelu sebelum ini memaklumkan bahawa kes Zara tiada kaitan dengan VIP atau VVIP, namun, masih ada pihak menyebarkan poster kononnya kes itu ada kaitan dengan menteri.
Antara yang dikaitkan oleh netizen termasuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan bahkan Yang Dipertua Negeri Sabah walaupun tiada kaitan langsung dengan kes terbabit.
“Tindakan penguatkuasaan sudah diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara ini,” katanya.
Berhubung insiden seorang wanita menaiki pentas bagi mendekati Sultan perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak baru-baru ini, Fahmi mendedahkan lebih 40 kandungan jelik dimuatnaik pengguna media sosial, termasuk bersifat 3R.
Katanya, antara tuduhan itu adalah kononnya pelaku adalah wanita Cina tetapi sebenarnya wanita itu berbangsa Melayu.
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan beberapa individu lain dipanggil memberi keterangan kerana disyaki menyebarkan berita palsu.
“Daripada 40 kandungan yang dimuatnaik, 30 didapati akaun palsu dan disebarkan bagi tujuan fitnah… Kementerian sudah meminta MCMC memadam akaun-akaun terbabit,” katanya.
Mengenai sekiranya benar bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi bakal dicalonkan bagi kerusi Dun Merotai pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), beliau menjawab:“Saya bukan presiden parti (PKR). Saya cuma Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan juga Ketua Penerangan tapi saya belum terima apa-apa arahan.”
