KKM percepat pengambilan, perkukuh usaha kekalkan jururawat - Dr Dzulkefly

LocalHealth & Fitness
11 Oct 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KKM percepat pengambilan, perkukuh usaha kekalkan jururawat - Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepat pengambilan jururawat baharu dan memperkukuh usaha mengekalkan jururawat sedia ada menerusi penambahbaikan kebajikan serta prospek kerjaya bagi menangani penghijrahan ke luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah penambahbaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta pemberian insentif dan elaun mengikut kelayakan termasuk kenaikan Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

"Keutamaan KKM adalah untuk memastikan perkhidmatan kejururawatan awam kekal kompetitif dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, KKM turut mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi jururawat yang bertugas secara syif, selain memperluas peluang latihan dan kenaikan pangkat serta memberikan fleksibiliti penempatan menerusi sistem pertukaran secara suka sama suka.

Dzulkefly berkata, jururawat adalah antara skim perkhidmatan yang paling banyak mendapat manfaat daripada sistem pertukaran berkenaan manakala proses pengambilan turut dipercepat bagi mengisi kekosongan jawatan.

Beliau berkata, KKM tidak lagi mengambil jururawat secara kontrak sebaliknya semua pengambilan baharu ditawarkan jawatan tetap.

Sementara itu, Dzulkefly, berkata KKM turut berusaha mempercepat penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, setakat Julai lepas, sebanyak 3,545 pegawai farmasi kontrak masih berkhidmat dengan KKM manakala 115 lagi berada dalam senarai simpanan atau menunggu lantikan tetap.

Dzulkefly juga berharap proses itu dapat dipercepat bagi membolehkan pegawai farmasi terbabit diserap ke perkhidmatan tetap. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved