
PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan pemergian jururawat terlatih, Noor Atirah Yacob akibat kemalangan, semalam sebagai kehilangan buat Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, jasa Noor Atirah yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang itu akan sentiasa dihargai dan dikenang.
“Segala jasa, keringat, dan bakti dicurahkan dalam menyelamatkan nyawa dan merawat pesakit pasti sentiasa dihargai dan dikenang. Bagi pihak KKM, saya merakamkan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mendepani ujian kehilangan ini.
“Kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang jururawat Hospital Selayang dan suaminya maut selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh, susur masuk ke Sierramas, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan kira-kira pukul 3.50 petang. – KOSMO! ONLINE
The post Pemergian jururawat Noor Atirah, satu kehilangan buat KKM – Dr. Dzulkefly appeared first on Kosmo Online.






