KKM sahkan tiada krisis insulin untuk pesakit, bekalan cukup hingga hujung tahun

26 Aug 2024 • 2:44 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan bahawa Malaysia tidak mengalami krisis kekurangan bekalan insulin untuk pesakit, dan bekalan semasa mencukupi hingga hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata pihak kementerian sudahpun mula mencari alternatif lain, di samping berusaha mendapatkan pembekal baharu secepat mungkin.

“Saya tidak percaya kita akan mengalami krisis, tetapi memang kita sudah ada ada alternatif lain, dan kita akan dapatkan pembekal lain secepat mungkin,” katanya kepada media pada majlis menandatangani MoU MIH Megatrends 2024 di sini hari ini.

Ditanya berapa lama Malaysia boleh mendapatkan bekalan insulin berkenaan, beliau menjawab: “Kita akan menyegerakannya, 60 hari, berbanding beberapa bulan sebelum ini, atau selalunya”.

Minggu lepas KKM telah menjelaskan bahawa gangguan bekalan insulin untuk manusia di fasiliti kendaliannya baru-baru ini, adalah disebabkan isu pengeluaran, dan dalam memastikan rawatan pesakit tidak terganggu, ia telah melaksanakan beberapa langkah, termasuk meningkatkan penggunaan insulin analog dan terapi oral, sebagaimana ditetapkan menerusi penilaian klinikal doktor yang merawat setiap pesakit.

Dzulkefly menafikan dakwaan kekurangan bekalan dan menjelaskan bahawa isu itu berpunca daripada “kewajipan kontrak” salah satu pembekal kementerian.

“Satu daripada dua pembekal kami telah bergelut untuk memenuhi kewajipan kontrak mereka, tetapi kita mempunyai penyelesaian alternatif,” katanya dan menambah bahawa pihak kementerian sedang berbincang dengan pembekal semasa di Johor dan satu lagi pembekal di India.

”.. apa pun, kita tidak mahu kekurangan ini menjejaskan penjagaan pesakit. Jika ada masalah kekurangan bekalan (yang) saya tidak dengar perkara itu buat masa ini.

“Setahu saya, tiada pesakit yang hadapi masalah untuk dapat bekalan insulin,” katanya.

Menteri itu juga berkata pembekal luar negara yang berminat perlu mengemukakan dokumen mereka kepada KKM, dan pihak kementerian akan mempercepatkan proses pendaftaran melalui Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

-BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved