KKM semak semula keperluan sumber manusia bidang kesihatan

LocalPolitics
13 Jun 2023 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Zaliha Mustafa

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan satu kajian baharu pada tahun ini untuk menyemak semula keperluan sebenar negara bagi pelbagai kategori sumber manusia untuk kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kajian ini akan mengambil kira impak polisi baharu yang diperkenalkan selepas 2016 dan juga keperluan kesihatan rakyat.

”Dengan ini, taburan dan keperluan anggota kesihatan untuk seluruh negara dapat dipetakan dan diunjurkan dengan jelas.

“Kajian ini juga akan menjadi evidence-base ke arah penyediaan pelan implementasi bagi beberapa strategi Kertas Putih Kesihatan untuk memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

"KKM akan terus berbincang dengan JPA bagi memastikan dasar dan perancangan kesihatan yang dirangka adalah bertepatan dengan keperluan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diteruskan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor terbabit dalam negara.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, keputusan JPA menghentikan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi merupakan dasar lalu yang dibuat berpandukan dapatan kajian Supply and Needs-Based Requirement Projections of Malaysian Human Resources for Health Using System Dynamics Approach 2016-2030.

“Kajian ini dikatakan menunjukkan unjuran bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran (oversupply) mulai 2026 hingga 2030.

“Walau bagaimanapun, kajian ini berdasarkan data dari tahun 2008 hingga 2015 dan kurang menggambarkan situasi semasa.

“Unjuran tenaga kerja kesihatan boleh ditambah baik dengan mengambil kira perubahan dasar kerajaan yang berlaku selepas 2015, keperluan kesihatan pasca Covid-19, perubahan beban penyakit, perkembangan teknologi perubatan dan keperluan perkhidmatan mengikut bidang kepakaran di sektor awam dan swasta,” ujarnya.