liza05/10/2026 - 14:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Kementerian Kerja Raya (KKR) gagal mengutip RM90.50 juta bayaran balik kos pemindahan utiliti bagi projek infrastruktur dengan 92.8% daripada jumlah itu sudah tertunggak lebih setahun, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026.
Kegagalan itu turut menyebabkan ketepatan rekod kewangan kerajaan terjejas selain meningkatkan risiko kelewatan berpanjangan dalam mendapatkan semula wang awam.
Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat itu mendapati daripada RM90.50 juta yang direkodkan sebagai akaun belum terima pada 31 Disember 2025, sebanyak RM84.05 juta atau 92.8% merupakan tunggakan melebihi 12 bulan.
Lebih membimbangkan, sebanyak 22 kerja pemindahan utiliti bernilai RM63.16 juta merangkumi 11 projek masih belum dituntut, walaupun tempoh enam bulan selepas pengeluaran Sijil Siap Kerja (CPC) telah berakhir.
Menurut laporan itu, kelemahan berkenaan berpunca daripada kelewatan mengemukakan tuntutan, pertikaian nilai bayaran dengan syarikat utiliti serta kesilapan pentadbiran, termasuk RM30.46 juta yang tersalah direkodkan sebagai akaun belum terima.
Kelemahan tuntutan jejaskan kutipan hasil kerajaan
Ketua Audit Negara memberi amaran bahawa kelemahan tersebut boleh menjejaskan ketepatan pelaporan hasil kerajaan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, selain meningkatkan risiko wang awam terus tertangguh daripada dikutip.
Bagi memperbaiki keadaan itu, LKAN mengesyorkan KKR supaya menyemak, mengesahkan dan mengemas kini rekod akaun belum terima secara berkala dengan merujuk kepada fail projek.
KKR juga perlu memastikan tuntutan dikemukakan dalam tempoh ditetapkan selepas Sijil Siap Kerja dikeluarkan, selain mempergiatkan rundingan dan tindakan susulan dari sudut perundangan dengan syarikat utiliti.
Dalam maklum balasnya, KKR berkata tunggakan bayaran balik berpunca antaranya daripada pertikaian nilai tuntutan yang dibangkitkan syarikat utiliti serta dokumen sokongan yang tidak lengkap daripada kontraktor yang dilantik syarikat berkenaan.
Kementerian itu berkata kelewatan kontraktor menyiapkan dokumen sokongan, lukisan siap bina (as-built drawings) dan laporan penyelarasan teknikal menjadi antara punca utama tuntutan rasmi tidak dapat dikemukakan.
RM34.3 juta sudah dikeluarkan daripada baki tertunggak
Bagaimanapun, KKR berkata jumlah RM90.50 juta berkenaan telah dikurangkan sebanyak RM34.3 juta atau 37.9% kepada RM56.2 juta.
Pengurangan itu termasuk RM3.8 juta bayaran balik yang berjaya dikutip menerusi enam tuntutan, manakala RM30.46 juta daripada tujuh tuntutan di bawah projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dikeluarkan daripada rekod akaun belum terima.
KKR menjelaskan RM30.46 juta itu bukan tunggakan sebenar syarikat utiliti, sebaliknya tersalah direkodkan sebagai akaun belum terima akibat kesilapan dokumentasi dalaman.
Kesilapan tersebut dikenal pasti ketika semakan terhadap laporan akaun belum terima pada 31 Disember 2025 dan tuntutan berkenaan dikeluarkan daripada rekod pada April 2026 bagi memulihkan ketepatan rekod kewangan.
Namun, LKAN menegaskan kelemahan dalam pengurusan tuntutan dan rekod akaun belum terima perlu ditangani supaya proses mendapatkan semula bayaran balik kos pemindahan utiliti tidak terus tertangguh dan hasil kerajaan dapat direkodkan dengan tepat.- DagangNews.com


