hamden05/10/2026 - 12:58 Foto kredit Sabah Media Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt - Kos projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah Fasa 1) meningkat RM1.05 bilion atau 6% selepas projek berkenaan gagal disiapkan dalam tempoh 10 tahun, menurut Laporan Ketua Audit Negara pada Isnin.
Laporan itu berkata peningkatan kos tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada Fasa 1A yang menyaksikan kos projek meningkat kepada RM11.323 bilion, iaitu RM987 juta atau 9.5% lebih tinggi berbanding kos asal RM10.336 bilion.
“Disebabkan peningkatan kos tersebut, projek tidak dapat disiapkan sepenuhnya dan memaksa kerajaan menyediakan peruntukan tambahan melebihi peruntukan asal,” menurut laporan itu.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bertujuan meningkatkan rangkaian infrastruktur jalan raya di negeri Sabah, dengan konsep pelaksanaannya digariskan oleh Menteri Kerja Raya pada 23 Oktober 2015.
Projek berkenaan meliputi 35 pakej kerja dengan jumlah panjang jalan sejauh 706 kilometer.
Objektif utama Projek LPB Sabah adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan dan akses, khususnya bagi masyarakat luar bandar di Sabah. - DagangNews.com






