KL & Pulau Pinang Terawal, Selangor Bakal Susul Larang Kedai Pamer Produk Tembakau Bermula 1 April

LocalHealth & Fitness
13 Mar 2025 • 3:24 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Rokok membahayakan kesihatan! Ya semua orang tahu tapi malangnya masih ada segelintir rakyat Malaysia yang merokok.

Lebih parah lagi, apabila ada sebahagian remaja termasuk kanak-kanak bawah umur yang terjebak dengan aktiviti tidak sihat ini.

Hal ini kerana pendedahan terhadap produk tembakau itu ada di mana-mana, bukan hanya kerana melihat orang awam merokok, tetapi kedai-kedai yang mempamerkan rokok secara terang-terangan juga boleh menjadi puncanya.

Produk tembakau tak boleh dipamerkan mulai 1 April

Bagaimanapun, mulai 1 April 2025, kesemua produk tembakau tidak lagi boleh dipamerkan secara terbuka di kedai runcit dan kedai makan di Kuala Lumpur serta Pulau Pinang dan dipercayai akan melibatkan Selangor juga.

Menurut Majoriti yang memetik The Star, produk tembakau itu mestilah disembunyikan daripada pandangan dengan cara meletakkannya di dalam kabinet tertutup.

Difahamkan, langkah itu selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang melarang paparan tempat jualan produk merokok di kedai makan dan kedai runcit.

Akta 852 mula dikuatkuasa sejak 1 Oktober 2024

Sebelum ini, akta terbabit telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu yang meliputi peraturan mengenai pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.

Akta ini juga termasuk larangan memaparkan semua roduk tembakau dan vape di kedai runcit.

Ketiga-tiga negeri yang akan menguatkuasakan larangan ini telahpun memaklumkan kepada pemilik kedai mengenai langkah berkenaan.

KL akan mulakan penguatkuasaan apabila tamat tempoh tangguh

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur akan memulakan penguatkuasaan apabila tamat tempoh tangguh nanti.

“Sejak Akta 852 berkuat kuasa, Jabatan Kesihatan telah mengunjungi kedai runcit menjual rokok dan produk tembakau.

“Mereka telah memberikan penjelasan dan pengumuman kepada penjual, seperti di kedai serbaneka,” kata Maimunah.

Selangor mungkin ikut langkah tersebut – Exco Selangor

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi pula berkata, negeri itu berkemungkinan akan mengikuti langkah tersebut.

Beliau turut menyifatkan ia sebagai langkah tepat kerana berpendapat perkara itu adalah sebahagian daripada agenda mesyuarat exco negeri.

“Ini adalah satu langkah yang baik dan saya fikir kita harus mempertimbangkan untuk melaksanakannya di Selangor juga,” katanya.

Jabatan Kesihatan negeri Pulau Pinang akan pantau premis dan gerai

Manakala pengerusi jawatankuasa kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemantauan bagi memastikan mereka tidak mempamerkan produk berkaitan tembakau di kedai runcit.

“Individu boleh didenda daripada RM500 hingga RM30,000, manakala organisasi boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara,” ujar Daniel.

Apa itu tempoh tangguh?

Tempoh tangguh bermaksud kelonggaran bagi sesuatu penguatkuasaan yang diumumkan kerajaan sebelum ianya dikuat kuasakan secara rasmi.

Sebagai info, Akta 852 telah diwartakan pada Oktober tahun lalu, namun Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tempoh tangguh sehingga 1 April sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.

Source: