PETALING JAYA - Penyedia infrastruktur digital terkemuka Australia, NEXTDC merasmikan KL1 Kuala Lumpur, pusat data antarabangsa pertamanya yang mewujudkan platform strategik bagi menyokong pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital di seluruh Asia Tenggara.
Terletak di Lembah Klang, hab utama perniagaan dan teknologi Malaysia, KL1 Kuala Lumpur membabitkan pelaburan jangka panjang bernilai AUD$1 bilion iaitu kira-kira RM2.8 bilion dan menjadi langkah penting dalam pengembangan NEXTDC daripada penyedia infrastruktur digital nasional kepada peneraju platform infrastruktur kritikal serantau.
Dibina khusus untuk menyokong AI generasi baharu dan pengkomputeran berprestasi tinggi, KL1 Kuala Lumpur direka bagi menyediakan kapasiti IT sebanyak 65MW serta menggabungkan prinsip reka bentuk Tier IV milik NEXTDC yang diiktiraf diperingkat global.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran fasiliti KL1 milik NEXTDC merupakan pencapaian penting dalam misi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama Asia Tenggara dan pemacu utama ekonomi AI serantau.
Menurutnya, ketika negara bergerak ke arah AI Nation 2030, fasiliti seperti KL1 amat penting bagi menyediakan ketahanan, keselamatan dan skala yang diperlukan untuk inovasi generasi baharu berasaskan awan.
"Pelaburan bernilai RM2.8 bilion (AUD$1 bilion) ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan pelabur global terhadap ekosistem digital negara, malah memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan rantaian nilai global.
"Kementerian Digital kekal komited menyokong kerjasama strategik seperti ini yang bertindak sebagai pemangkin kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan bakat digital dan pertumbuhan ekonomi mampan untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya sempena Majlis Perasmian Pusat Data KL1 Kuala Lumpur NEXTDC, di sini, pada Khamis.
Turut hadir merasmikan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pusat Data KL1 Kuala Lumpur menyediakan hab semula jadi bagi organisasi yang ingin beroperasi di seluruh Asia Tenggara sambil mengekalkan kawalan terhadap data, infrastruktur dan keperluan kawal selia.
Selain infrastruktur, KL1 Kuala Lumpur dijangka menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi lebih luas menerusi sokongan terhadap pertumbuhan industri digital, menarik pelaburan dan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja teknologi Malaysia melalui peningkatan kemahiran berterusan serta kerjasama ekosistem.
Dalam pada itu, Amirudin Shari berkata, sejak majlis pecah tanah pada 9 Jun 2023, NEXTDC berjaya melahirkan KL1, pusat data Tier IV pertama di Malaysia yang terletak di tengah-tengah Petaling Jaya, Selangor.
"Sebagai bandar satelit terancang pertama Malaysia pada awal 1950-an, ini menandakan fasa baharu untuk Petaling Jaya dan meletakkan bandar ini di peta global kecerdasan buatan.
"Ia sekali gus membuka peluang kepada perniagaan berskala besar, institusi kewangan, industri kritikal dan operasi kerajaan untuk memaksimumkan potensi yang boleh ditawarkan pusat data sebesar ini kepada masyarakat," katanya.
**media[3520478]**Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan NEXTDC, Craig Scroggie berkata, pelancaran pusat data berkenaan mencerminkan perubahan struktur dalam cara infrastruktur digital direka dan dilaksanakan di seluruh dunia.
Katanya, cabaran dalam Revolusi Perindustrian Keempat ketika ini, bukan lagi akses kepada teknologi, tetapi keupayaan untuk melaksanakannya dengan pantas, pada skala besar dan dalam rangka kerja tadbir urus berdaulat.
“KL1 Kuala Lumpur dibina khusus bagi memenuhi keperluan pasaran dengan menyediakan persekitaran berprestasi tinggi dan bersedia kedaulatan yang membolehkan pelanggan mengendalikan beban kerja pengkomputeran generasi baharu dengan yakin.
"Ini bukan sekadar memasuki pasaran baharu, tetapi mengenai NEXTDC membangunkan platform infrastruktur di lokasi pelanggan perlu beroperasi, berhubung dan berkembang dalam ekonomi AI," katanya.

.jpg)

