
KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh keupayaan reka bentuk semikonduktor bernilai tinggi menerusi kerjasama industri dan akses kepada teknologi termaju bagi membantu syarikat tempatan membangunkan harta intelek, mengkomersialkan produk serta menembusi pasaran global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengalihkan tumpuan daripada teknologi yang sekadar dihasilkan di Malaysia kepada teknologi yang dibangunkan dan dimiliki syarikat tempatan.
Katanya, inisiatif KL20@Kuala Lumpur 2026 menjadi antara platform untuk memperkukuh keupayaan inovasi tempatan, khususnya dalam industri semikonduktor yang mempunyai potensi besar untuk menjana nilai ekonomi lebih tinggi.
“KL20 bukan lagi sekadar meletakkan Malaysia dalam peta syarikat pemula global. Ia adalah mengenai membawa inovasi Malaysia ke pasaran global,” katanya dalam ucapan penutup di KL20@2026, di sini semalam.
Dalam pada itu, ekosistem syarikat pemula (startup) Malaysia merekodkan 5,016 syarikat berdaftar, termasuk 1,609 syarikat yang ditambah sejak 2024, selain jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM51.17 bilion dan nilai nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia melepasi RM200 bilion iaitu sebanyak RM202.64 bilion.
Malaysia Semiconductor IC Design Park pula melaporkan penglibatan 24 rakan industri global serta melahirkan 1,525 jurutera terlatih, manakala 17 syarikat dikaitkan dengan KL Innovation Belt.
Menurut Akmal, Malaysia perlu membangunkan teknologi proprietari, mendapatkan pelanggan serta memastikan lebih banyak nilai ekonomi kekal dalam negara, sejajar dengan penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap produktiviti dan penciptaan nilai domestik.
“Antara perkembangan yang diketengahkan ialah kerjasama antara Silicon X dan syarikat Jepun, Tokyo Artisan Intelligence, yang sedang meneroka pembangunan bersama, penghasilan prototaip serta pengkomersialan cip kecerdasan buatan (AI) boleh konfigurasi semula.
“Kerjasama itu menggabungkan seni bina cip dari Malaysia dengan algoritma AI termaju bagi meneroka pembangunan teknologi yang berpotensi digunakan dalam pelbagai aplikasi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, lima syarikat tempatan iaitu Alphaswift Industries, Oppstar Technology, SkyeChip, GreatAsic Technology dan Xenith Technology memperoleh akses kepada teknologi Arm bagi pembangunan cip generasi seterusnya.
Teknologi berkenaan merangkumi aplikasi dron, telekomunikasi, pusat data, peranti pintar dan automotif, sekali gus membuka ruang kepada syarikat tempatan memperkukuh keupayaan reka bentuk cip untuk pelbagai sektor.
Xenith Technology dan GreatAsic Technology turut menjalin kerjasama bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan.
Perkembangan itu menyokong usaha Malaysia Semiconductor IC Design Park untuk membantu syarikat tempatan beralih daripada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan kepada segmen reka bentuk cip yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Bagaimanapun, kerjasama berkenaan masih pada peringkat pembangunan dan akses teknologi, dan belum boleh dianggap sebagai pengkomersialan produk yang telah selesai. – UTUSAN
The post KL20 perkukuh keupayaan reka bentuk cip tempatan appeared first on Utusan Malaysia.




