
PETALING JAYA – Keadaan jerebu di sekitar ibu kota masih lagi membimbangkan meskipun hujan lebat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang semalam.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Adiazwari berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa bangunan ikonik ibu kota tidak kelihatan.
Malah kata individu itu, bau asap juga boleh dihidu sampai ke dalam rumah.
“Kemas kini hari ini pukul pukul 12.26 tengah hari. Malaysia masih jerebu teruk hari ni, ingat kabus tapi bau asap sampai masuk rumah.
“KLCC, TRX, KL tower semua nampak bayang je, semoga boleh kerja dari rumah sampai weekend (hujung minggu) nak tengok F1 ni. Kita jaga kita,” tulis individu itu.
Pada hantaran sama, individu yang tinggal di Sentul itu juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memakai pelitup muka semasa keluar rumah.
“Yang keluar rumah tu pastikan pakai mask (pelitup muka) yaa, minum air kosong banyak,” nasihatnya.
Menjengah ke ruangan, rata-rata pengguna turut berkongsi keadaan sama dan mereka berharap jerebu itu pulih dalam masa terdekat.
“Ya ampun risau tengok, sebab hujung minggu ni saya dan suami nak pergi KL sebab suami join (sertai) event (acara) KLSCM, dahla dari Sarawak ni jauh datang,” komen Iffahrazznie.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ainashmas.
“Betul bau asap tu busuk, macam bau toksin,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘KLCC tinggal bayang, bau asap sampai dalam rumah’ appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Hujan lebat sejam, beberapa kawasan JB dilanda banjir kilat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/JB-BANJIR-KILAT-1024x768.jpeg)
