![Image from: [VIDEO] Hujan lebat sejam, beberapa kawasan JB dilanda banjir kilat](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/JB-BANJIR-KILAT-1024x768.jpeg)
JOHOR BAHRU – Hujan lebat yang melanda bandar raya ini kira-kira sejam petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dalam kejadian banjir kilat.
Antara lokasi terjejas ialah Jalan Ayer Molek dan Jalan Tun Abdul Razak yang menyaksikan air bertakung di beberapa bahagian jalan sehingga mengganggu kelancaran trafik.
Keadaan sama turut berlaku di Kampung Pasir apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.
Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan sistem perparitan di beberapa lokasi dipercayai tidak dapat menampung aliran air yang tinggi dalam tempoh singkat.
Tinjauan mendapati keadaan banjir kilat itu turut menyebabkan kenderaan yang melalui kawasan terjejas perlu memperlahankan pergerakan bagi mengelak risiko keselamatan.
Setakat ini, belum ada laporan mengenai mangsa yang dipindahkan atau kerosakan serius akibat kejadian berkenaan.
Orang ramai terutama pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air dan mengelakkan laluan berisiko sekiranya hujan lebat kembali berterusan. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Hujan lebat sejam, beberapa kawasan JB dilanda banjir kilat appeared first on Kosmo Online.





