KLFW tampil rekaan batik guna tekstil asli dari Sabah

8 Aug 2026 • 4:49 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

KLFW tampil rekaan batik guna tekstil asli dari Sabah

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memanfaatkan platform Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 untuk memperkukuh penjenamaan produk tempatan serta memperluaskan akses pasaran, selaras pelaksanaan inisiatif ‘Jom Malaysia’.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata (gambar) kerjasama strategik itu adalah sebahagian daripada transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan penggunaan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap import dan memperkukuh daya saing usahawan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC dari 3 hingga 9 Ogos menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan kira-kira 800 rekaan kreatif, sekaligus menjadi pentas terbaik mempromosikan kreativiti industri fesyen negara.

“Buat julung kalinya, KLFW 2026 menampilkan segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang mengetengahkan 30 rekaan batik kontemporari hasil 10 pereka fesyen tempatan menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Segmen ini bukan sahaja mengangkat warisan batik negara, malah membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pembeli dan pasaran antarabangsa,” katanya selepas merasmikan KLFA 2026, di sini pada Khamis.

Armizan berkata potensi industri budaya dan kreatif negara terus berkembang apabila sektor itu menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, pencapaian itu membuktikan industri kreatif bukan sekadar mencerminkan identiti negara, malah menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, berdasarkan kejayaan KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti mencecah AS$32 juta, kerjasama strategik tahun ini dijangka meningkatkan lagi pengiktirafan serta permintaan terhadap produk tempatan, khususnya batik Malaysia.

“Inisiatif ini juga selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan promosi produk tempatan merentas kementerian serta agensi kerajaan.

“Justeru, semua pihak termasuk pemain industri, sektor swasta dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan secara kolektif dengan mengemukakan cadangan serta memperkukuh kerjasama bagi memastikan agenda memperkasa produk tempatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Pada masa sama, KPDN akan terus memperluaskan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi membina ekosistem yang mampan sekali gus memastikan produk Malaysia lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved