KLIA 2 Gempar, Mayat Lelaki Ditemui Dalam Ruang Simpanan Tayar Pesawat Dari Jepun

27 Aug 2026 • 2:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KLIA 2 Gempar, Mayat Lelaki Ditemui Dalam Ruang Simpanan Tayar Pesawat Dari Jepun

SEPANG - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) gempar seketika, selepas mayat seorang lelaki tidak dikenali ditemukan dalam ruang penyimpanan tayar sebuah pesawat pagi tadi.

Mayat berkenaan ditemukan kira-kira jam 6.55 pagi, tidak lama selepas pesawat terbabit yang datang dari Tokyo, Jepun, mendarat di KLIA2 sekitar jam 6.30 pagi.

Menurut laporan BuletinTV3, mayat lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 20-an itu ditemukan oleh kakitangan kejuruteraan ketika mereka menjalankan tugasan membuka ruang penyimpanan tayar pesawat berkenaan.

Difahamkan, kakitangan terbabit terlebih dahulu terhidu bau kurang menyenangkan yang datang dari ruang tersebut sebelum membukanya.

Mereka kemudian menemukan mayat tersebut dan segera memaklumkan perkara itu kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2.

Menurut laporan, mayat itu ditemukan dalam keadaan memakai seluar jeans dan kemeja-T berwarna putih.

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam, bagaimanapun,tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat tersebut.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta menentukan punca kematian. - Getaran, 27 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved