SEPANG - Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang lelaki dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pada Khamis, sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Kawalan Operasi Lapangan (AOCC) kira-kira jam 7 pagi.
"Maklumat diterima selepas pihak AOCC menjalankan pemeriksaan di ruang simpanan tayar sebelah kanan sebuah pesawat.
“Pemeriksaan itu menemukan seorang lelaki telah meninggal dunia dalam keadaan meniarap," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat ditemui dalam ruang tayar pesawat di KLIA2
Ravi berkata, hasil pemeriksaan terhadap badan lelaki berkenaan tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.
"Keadaan mayat juga sudah mereput ketika ditemui, manakala anggaran usia mangsa adalah antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal," katanya.
Katanya, lelaki itu ketika ditemui memakai hoodie berwarna putih dengan gambar naga di bahagian belakang dan tulisan ‘Oakley’ di bahagian hadapan.
“Dia turut memakai seluar jeans berwarna biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan berwarna hitam.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa,” katanya.
Ravi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca kematian.
“Kes ini disiasat mengikut prosedur SDR. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-8776 8222.






