
PETALING JAYA: Klinik Ezna memperluas pasaran korporat di Johor dengan menjadi panel kesihatan kepada lebih 20 organisasi, didorong permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan primer yang mudah diakses, konsisten dan mempunyai keupayaan diagnostik lebih menyeluruh.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Ezna, Dr. Irfan Rahman berkata, permintaan daripada segmen korporat menjadi antara pemacu perkembangan klinik, selain keupayaannya menyediakan perkhidmatan di luar waktu operasi biasa termasuk hujung minggu dan cuti umum.
Menurut beliau, rakan korporat khususnya memerlukan penyedia perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses oleh pekerja, menyediakan rawatan secara konsisten dan mampu menguruskan pesakit dengan cekap.
“Kami percaya permintaan itu didorong oleh gabungan faktor aksesibiliti, keupayaan dan kepercayaan.
“Pesakit mahukan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, tetapi mereka semakin menjangkakan lebih daripada sekadar kemudahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Klinik Ezna yang mula beroperasi pada Februari 2023 itu kini merekodkan kira-kira 2,500 kunjungan pesakit sebulan, manakala jumlah kumulatif kunjungan sejak penubuhannya melebihi 100,000.
Beliau berkata, Klinik Ezna turut membuat pelaburan secara berperingkat bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan rawatan dalam persekitaran penjagaan primer.
“Bagaimanapun, jumlah kunjungan bukan satu-satunya ukuran prestasi klinik kerana pihaknya kini turut memberi tumpuan kepada kesinambungan rawatan, pengalaman pesakit dan hasil kesihatan yang boleh diukur.
“Perubahan permintaan pesakit turut mendorong Klinik Ezna membangunkan konsep penjagaan primer lanjutan bagi membolehkan lebih banyak keadaan kesihatan disiasat, didiagnosis dan diuruskan dalam komuniti.
“Kami percaya terdapat ruang penting antara penjagaan primer konvensional dan rawatan hospital yang membolehkan lebih banyak keadaan kesihatan disiasat, didiagnosis dan diuruskan dengan sewajarnya dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan berkata, Klinik Ezna mempunyai aspirasi untuk memperluas capaian sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan serantau, namun tidak bercadang berkembang secara agresif menerusi pembukaan cawangan semata-mata.
Sebaliknya, katanya, pihaknya mahu memperkukuh asas operasi termasuk tenaga kerja, piawaian klinikal, kepimpinan, sistem dan pengalaman pesakit bagi memastikan kualiti perkhidmatan dapat dikekalkan apabila perniagaan berkembang.
Baru-baru ini, Klinik Ezna turut menerima Parents’ Choice Award 2026’ bagi kategori Klinik Terbaik untuk Wanita dan Kanak-kanak.
Beliau berkata, Klinik Ezna turut memberi penekanan terhadap penjagaan susulan menerusi program selepas rawatan bagi memastikan pesakit terpilih terus mendapat perhatian selepas meninggalkan klinik. – UTUSAN
The post Klinik Ezna perluas pasaran, panel lebih 20 organisasi appeared first on Utusan Malaysia.



