
Penduduk Stutong & Tabuan Jaya Bakal Nikmati Perkhidmatan Kesihatan Baharu
Klinik Kesihatan Tabuan Jaya Hampir Siap, Dijangka Beroperasi Tahun Ini. Klinik Kesihatan Tabuan Jaya yang terletak di Jalan Setia Raja dijangka mula beroperasi tahun ini, menurut Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen.
Chong berkata, beliau menerima maklumat terkini mengenai perkembangan projek ini dalam satu sesi taklimat bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching semalam, yang dipengerusikan oleh pegawai kesihatan, Dr Johnny Pangkas.

Kini mencapai 97 peratus
“Kami dimaklumkan bahawa projek klinik kesihatan baharu ini kini telah mencapai 97 peratus siap.
“Klinik Kesihatan Jenis 2 ini akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan pesakit luar, perkhidmatan bersalin dan penjagaan kanak-kanak, farmasi, fisioterapi, terapi kerja, terapi pertuturan, perkhidmatan makmal, radiologi serta pergigian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Chong, pembukaan klinik kerajaan ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan Stutong dan Tabuan Jaya.
“Ia dijangka dapat menampung sekitar 500 hingga 800 pesakit setiap hari. Saya menyambut baik inisiatif yang dibiayai kerajaan persekutuan ini untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.”
Chong turut menekankan bahawa beliau dan pembantu khasnya, Michael Kong, akan terus memantau perkembangan projek berkenaan.
“Kami akan membantu bagi memastikan kelancaran proses ini dengan apa cara yang boleh,” katanya.
Baca juga cerita menarik di bawah:


