KLMUC, YSN meterai MoU tawar biasiswa pengajian kepada anggota, keluarga polis

30 Oct 2023 • 6:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Seri Negara (YSN) bagi menawarkan biasiswa bernilai RM7 juta kepada anggota dan ahli keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ingin menyambung pengajian mereka di kampus berkenaan.

Memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cosmopoint Sdn Bhd Najmie Noordin (gambar) yang mewakili KLMUC, manakala Ketua Pegawai Eksekutif YSN Amirul Fadhil Che Ismail mewakili yayasan itu.

Pada majlis sama, Penaung YSN yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mazlan Lazim menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung KLMUC yang diserahkan oleh Najmie.

Najmie berkata biasiswa yang dikenali sebagai Biasiswa Seri Negara itu akan membuka peluang kepada lebih ramai ahli keluarga dan anggota PDRM untuk melanjutkan program pengajian bermula daripada peringkat diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) di KLMUC.

“KLMUC kini semakin menjadi pilihan kepada anggota dan juga pegawai PDRM untuk sambung pengajian, kita sudah ada lebih 300 lepasan PDRM dan tahun ini sahaja 200 anggota PDRM akan mengambil ijazah mereka pada majlis konvokesyen pada Sabtu ini.

“ ... dan saya percaya jumlah ini akan bertambah kerana bukan sahaja untuk kenaikan pangkat, tetapi juga persiapan mereka selepas tamat perkhidmatan seperti menceburi dunia korporat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Najmie berkata pada tahun depan, KLMUC merancang untuk membuka peluang kepada 300 anggota PDRM melanjutkan pengajian dan kelayakan penerima biasiswa itu juga akan diteliti termasuk dari segi pendapatan isi rumah dan program pengajian yang diambil.

“Antara program pengajian yang menjadi pilihan anggota PDRM di KLMUC ialah sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) kerana tempoh pengajiannya 12 bulan, kelas hibrid mengikut kesesuaian jadual anggota dan yuran pengajian yang kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata MoU itu ialah satu langkah yang baharu kerana sebelum ini YSN banyak memberikan tumpuan pada bantuan dari segi kebajikan anggota, keluarga dan pesara PDRM.

“Saya sebagai penaung YSN dan juga telah dilantik sebagai Profesor Adjung akan memberi bantuan dari segi dorongan untuk menaikkan semangat anggota PDRM yang layak supaya menyambung pengajian bagi meningkatkan lagi laluan kerjaya mereka,” katanya. -Bernama