Reneuco meterai MoU dengan MBPJ bagi pemasangan sistem solar fotovoltaik

19 Oct 2023 • 2:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reneuco meterai MoU dengan MBPJ bagi pemasangan sistem solar fotovoltaik

diyana

19/10/2023 - 14:19

KUALA LUMPUR 19 Okt - Anak syarikat Reneuco Bhd, Reneuco RE Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk pemasangan sistem solar fotovoltaik atas bumbung di Pusat Inovasi MBPJ, Taman Sains Selangor.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Reneuco berkata projek itu berada di bawah kategori skim kategori program pemeteran tenaga bersih (NEM) 3.0.

Menurut kumpulan itu, cadangan kapasiti projek itu ialah 267.3kWp (kilowatt-peak) dengan kadar tarif elektrik 39 sen/kWj (setiap kilowatt-jam).

Selain itu, Reneuco RE bertanggungjawab untuk akan memastikan MBPJ menjimatkan kos pembayaran elektrik susulan pemasangan sistem panel solar terbabit sepanjang tempoh 15 tahun.

“Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menerima manfaat unik, seperti penyediaan teknologi tenaga boleh diperbaharui (solar), perkongsian data, penjimatan pembayaran bil elektrik dan pengurangan penggunaan tenaga di Pusat Inovasi MBPJ, Taman Sains Selangor serta manfaat bersama dalam membantu Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam makluman tersebut.

Reneuco berkata anak syarikatnya adalah yang pertama dilantik oleh MBPJ menjadi projek perintis program pemasangan panel solar dengan perbelanjaan sifar di bangunan MBPJ.

"Pemasangan panel solar adalah salah satu skop dalam Program Pengurusan Tenaga dan Kecekapan di bawah tenaga boleh diperbaharui, yang boleh membantu bangunan MBPJ bergerak ke arah bangunan tenaga sifar," katanya. - DagangNews.com