Kluang Rubber cadang bayaran RM600,000 kepada bekas Timbalan Pengerusi, tidak jadi jual hartanah RM6.9 juta di Semenyih

29 Oct 2026 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kluang Rubber cadang bayaran RM600,000 kepada bekas Timbalan Pengerusi, tidak jadi jual hartanah RM6.9 juta di Semenyih Image from: Kluang Rubber cadang bayaran RM600,000 kepada bekas Timbalan Pengerusi, tidak jadi jual hartanah RM6.9 juta di Semenyih sarah29/10/2026 - 12:43 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Kluang Rubber Company (Malaya) Berhad mencadangkan bayaran ex gratia RM600,000 kepada bekas Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Lee Chung-Shih Justin, selain tidak lagi meneruskan rancangan menjual hartanah pelaburan bernilai RM6.9 juta di Semenyih, Selangor.

 

Menurut Laporan Tahunan 2026 syarikat itu, cadangan bayaran kepada Lee dibuat sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan, dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan berkenaan.

 

Cadangan tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 yang dijadualkan berlangsung pada 27 November 2026 di Johor Bahru.

 

Syarikat menjelaskan, pembayaran itu memerlukan kelulusan pemegang saham selaras dengan Perlembagaan Syarikat, Akta Syarikat 2016 dan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, manakala Lee serta individu yang mempunyai hubungan dengannya akan berkecuali daripada pengundian.

 

Rancangan jual hartanah RM6.9 juta tidak diteruskan

Dalam perkembangan berasingan, Kluang Rubber memaklumkan bahawa pengurusan telah menilai semula rancangan pelupusan hartanah pelaburan di Semenyih yang mempunyai nilai buku RM6.9 juta.

 

Hartanah tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai aset untuk dijual pada 30 Jun 2025 selepas anak syarikatnya, Kuchai Development Berhad, melantik CBRE WTW Real Estate Sdn Bhd pada Disember 2024 untuk menjalankan proses penjualan secara tender.

 

Bagaimanapun, pengurusan memutuskan bahawa kriteria pengelasan aset untuk dijual tidak lagi dipenuhi kerana pelupusan hartanah itu tidak lagi dianggap mempunyai kebarangkalian tinggi untuk dilaksanakan.

 

Sebaliknya, hartanah berkenaan telah disewakan kepada pihak ketiga sehingga Jun 2027 bagi menjana pendapatan sewa dan diklasifikasikan semula sebagai hartanah pelaburan, dengan nilai saksama kekal RM6.9 juta setakat 30 Jun 2026.

 

Selain itu, Kluang Rubber turut memohon kelulusan pembayaran fi pengarah dan manfaat lain tidak melebihi RM600,000 sehingga AGM berikutnya pada 2027, serta pembaharuan mandat pembelian balik saham sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya.

 

Syarikat juga mencadangkan dividen keseluruhan 9.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, merangkumi dividen akhir empat sen, dividen bonus satu sen dan dividen khas 4.5 sen, yang dijadualkan dibayar pada 4 Januari 2027 tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.- DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved