Kod Perlindungan Kanak-Kanak Diperkenalkan Dibawah Akta Keselamatan Atas Talian Dan Akan Berkuat-kuasa Bermula 1 Jun Ini

LocalTechnology
22 May 2026 • 5:57 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kod Perlindungan Kanak-Kanak Diperkenalkan Dibawah Akta Keselamatan Atas Talian Dan Akan Berkuat-kuasa Bermula 1 Jun Ini

Seperti yang sedia maklum, kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa platform media sosial kelak hanya boleh didaftar dan digunakan oleh rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas pada pertengahan tahun ini. Ini bermakna bahawa platform-platform media sosial yang sudah berdaftar di Malaysia, seperti Facebook, Instagram WhatsApp dan YouTube kelak akan perlu menuras pengguna mereka untuk memastikan bahawa semua pengguna-pengguna Malaysia adalah berumur 16 tahun dan keatas.

Hari ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia telah memperlihatkan dokumen soalan-soalan lazim berkenaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Children Protection Code) yang akan perlu dituruti oleh platform-platform media sosial bermula 1 Jun 2026 ini.

Kod Perlindungan Kanak-Kanak (“CPC”) menetapkan langkah langkah yang perlu diambil oleh pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen, di bawah Seksyen 18 ONSA, bagi memastikan penggunaan perkhidmatan mereka selamat untuk pengguna kanak-kanak. Ini termasuk memastikan akses yang bersesuaian mengikut umur serta perlindungan tambahan kepada pengguna kanak-kanak di platform mereka.

SKMM diberi kuasa di bawah seksyen 80 ONSA untuk mengeluarkan sebarang kod bagi tujuan pematuhan kewajipan di bawah Bahagian III Online Safety Act (ONSA). Selaras dengan seksyen 18 di bawah Bahagian III ONSA, CPC menetapkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen berkaitan bagi memastikan penggunaan perkhidmatan mereka selamat untuk kanak-kanak.

Salah satu cara untuk memastikan penggunaan perkhidmatan sosial media yang selamat bermula dengan pengesahan umur pengguna dengan dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia seperti MyKad ataupun pasport. Pengelola platform media sosial juga perlu menyediakan arahan yang jelas berhubung proses pengesahan, termasuk maklumat yang diperlukan, kaedah pelaksanaan serta tatacara pengendalian maklumat pengguna.

Kerajaan memberikan kebebasan kepada platform-platform ini untuk memilih proses pengesahan umur untuk digunakan oleh mereka, tetapi menurut dokumen yang diperlihatkan oleh pihak SKMM, pengesahan menggunakan MyKad ataupun pasport adalah wajib sebagai sebahagian daripada proses pengesahan umur tersebut. Jadi mereka boleh menggunakan platform seperti MyDigital ID ataupun sistem eKYC yang lain untuk proses ini.

Kanak-kanak yang tidak mengesahkan umur mereka sekurang-kurangnya 16 tahun dan keatas sama ada tidak akan dibenarkan untuk mendaftar akaun platform media sosial, ataupun fungsi yang boleh digunakan adalah sangat disekat. Pengendali platform media sosial juga boleh mengambil tindakan sewajarnya seperti menghalang pengguna bawah umur tersebut dari menggunakan platform mereka.

Kod CPC ini terpakai oleh platform-platform media sosial yang sudah berdaftar dengan kerajaan mereka, dan yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna Malaysia. Sekiranya pengelola platform gagal untuk mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh CPC, mereka boleh dikenakan denda sehiingga RM10 juta. Hukuman denda ini akan ditangguh seketika untuk memberi peluang pengendali platform media sosial untuk mengimplimentasi sistem pengesahan umur mereka sendiri.