
Kota Kinabalu: Kojasa Holdings Berhad yang sekian lama tidak aktif selama beberapa dekad menyasarkan kembali mencatat keuntungan tahun depan menerusi hala tuju baharu serta rancangan pengembangan perniagaan kata Pengerusinya Datuk George Teo.
Beliau optimis Kojasa yang juga anak syarikat milik penuh Qhazanah Sabah Berhad berupaya menjana keuntungan antara RM2 juta hingga RM5 juta sekaligus menjadi pencapaian kewangan penting bagi syarikat itu selepas 48 tahun beroperasi.
George berkata sasaran itu akan disokong oleh pengembangan perniagaan ke sektor pertanian dan pemprosesan makanan, selain rancangan memperkukuh perniagaan runcit menerusi pembukaan cawangan baharu Kojasa Mart.
“Kami merancang membangunkan sebuah kilang pemprosesan makanan di Tambunan menerusi usaha sama antara Unaco, sebuah syarikat terkemuka dalam sektor peruncitan, pemborongan dan pengedaran makanan di Malaysia Timur dengan Kojasa bagi memproses dan mengetin jagung serta rebung.
“Cadangan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat di daerah berkenaan selaras dengan prinsip Kojasa untuk memastikan inisiatif dan kerjasama yang dijalankan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
George berkata demikian kepada Daily Express selepas sambutan ulang tahun ke-48 Kojasa baru-baru ini.
Beliau berkata usaha sama dalam sektor pertanian antara Kojasa dengan Unaco yang dimeterai pada 2025 merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas syarikat itu untuk memperkukuh keselamatan makanan dan mempelbagaikan sumber pendapatan selain perniagaan runcit dan perdagangan.
Usaha itu juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Ramai menyangka Kojasa hanya tertumpu kepada Kojasa Mart tetapi sebenarnya kami sudah berkembang dan mempunyai anak syarikat serta perniagaan lain,” ujarnya.
Beliau menyatakan operasi syarikat itu turut merangkumi SAMA sebagai bahagian pemasaran, perniagaan pemborongan makanan serta jenama air minuman keluaran tempatan mereka, Eternal.
Katanya Kojasa berhasrat memperluas peranannya dalam menyokong usaha kerajaan negeri menjamin keselamatan makanan, termasuk menerusi pengeluaran produk jagung dan rebung dalam tin yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
Menerusi kerjasama dengan Unaco yang mempunyai produk serta kemudahan pembuatan sendiri, Kojasa menjangkakan dapat menikmati kelebihan dari segi kos, sekali gus menawarkan barangan pada harga lebih kompetitif berbanding pesaing.
Beliau berkata kerjasama itu juga membuka peluang kepada Kojasa untuk memperluas rangkaian produknya serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
George berkata Kojasa turut menjual kira-kira 300 jenis barangan, termasuk produk Unaco seperti makanan dalam tin, mi kering, jeruk dalam tin dan madu, selain barangan keperluan harian seperti gula, beras, minyak masak serta pelbagai keperluan rumah bagi memenuhi permintaan pengguna.
Jelasnya persaingan sengit dalam sektor peruncitan memberikan cabaran kepada Kojasa, sekali gus mendorong syarikat itu menilai semula strategi perniagaannya dan memberi tumpuan kepada pembinaan kelebihan daya saing yang lebih kukuh.
Sehubungan itu George berkata syarikat berkenaan akan terus meneroka peluang untuk memperkenalkan lebih banyak produk keluaran tempatan serta barangan keperluan pada harga kompetitif.
“Industri peruncitan sangat kompetitif dan kami perlu membangunkan kekuatan sendiri.
“Menerusi kerjasama strategik, perolehan yang cekap dan pengurusan rantaian bekalan yang lebih baik, kami yakin Kojasa dapat membina kelebihan daya saing yang mampan, sambil menawarkan nilai kepada pengguna,” katanya.
Selain itu beliau memaklumkan Kojasa turut merancang memperluas rangkaian Kojasa Mart dengan menyasarkan pembukaan tiga hingga lima cawangan baharu tahun depan, sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk memiliki 20 cawangan menjelang 2030.
“Kami menyasarkan pembukaan cawangan di Kota Marudu, Kundasang, Keningau, Papar dan Beaufort tahun depan.
“Cawangan baharu itu akan menggunakan konsep pasar mini keluarga dan ditempatkan secara strategik di kawasan pinggir bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sebelum kembali memberi tumpuan kepada kawasan bandar,” katanya.
George berkata Kojasa akan bekerjasama dengan pemaju hartanah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai, dan bukannya membuka cawangan tanpa mempertimbangkan permintaan pasaran secara teliti.
“Perniagaan runcit dan perdagangan sangat kompetitif, justeru kami perlu memenuhi keperluan pelanggan sebaik mungkin.
“Kami perlu mempunyai kekuatan sendiri dan salah satunya ialah keupayaan menawarkan harga lebih rendah dengan menjual produk keluaran kami sendiri,” tambahnya.
George yakin gabungan usaha dalam sektor pertanian, pemprosesan makanan dan strategi pengembangan peruncitan yang lebih terarah akan meletakkan Kojasa pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh tahun depan.
Bagi jangka panjang beliau optimis pembangunan perniagaan runcit, kepelbagaian aktiviti perniagaan, kerjasama strategik dan potensi pelaburan dalam sektor pertanian akan menjadi asas lebih kukuh kepada pertumbuhan mampan syarikat.






