Palestin tangguh pilihan raya hingga September tahun depan kerana Israel

WorldPolitics
11 Oct 2026 • 9:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Palestin tangguh pilihan raya hingga September tahun depan kerana Israel

RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Sabtu menangguhkan pilihan raya perundangan hingga September tahun depan, menurut media rasmi.

Ia sekali gus mengesahkan spekulasi meluas bahawa pilihan raya itu sekali lagi akan ditunda.

Pilihan raya perundangan pertama sejak 2006, yang sekian lama disarankan oleh masyarakat antarabangsa, dijadualkan berlangsung pada 28 November.

Pilihan raya presiden dijangka diadakan pada awal 2027.

Bagaimanapun, kedua-dua pilihan raya itu kini akan diadakan pada 11 September 2027, menurut dekri yang dikeluarkan Abbas. 

Beliau menyalahkan halangan yang dikenakan Israel, lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Israel, yang akan mengadakan pilihan raya pada 27 Oktober, mengecam Abbas sebagai diktator korup berhubung penangguhan itu.

Dalam kenyataan yang disiarkan Wafa, pejabat Abbas menyalahkan penangguhan itu kepada halangan dikenakan oleh langkah-langkah Israel selain keperluan mewujudkan keadaan politik, keselamatan dan situasi di lapangan yang sesuai.

Puak-puak Palestin, termasuk parti Fatah pimpinan Abbas dan pesaing Islamisnya sejak sekian lama, Hamas, bersetuju untuk mengesyorkan penangguhan pilihan raya itu dalam satu mesyuarat di Kaherah pada Rabu, menurut seorang sumber yang menghadiri mesyuarat berkenaan kepada AFP.

Pelaksanaan pilihan raya merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang dituntut masyarakat antarabangsa, termasuk Kesatuan Eropah, terhadap Pihak Berkuasa Palestin.

Pilihan raya perundangan terakhir di wilayah Palestin diadakan pada 2006, apabila gerakan Hamas menewaskan Fatah, yang mendominasi Pihak Berkuasa Palestin.

Perpecahan susulan keputusan itu mencetuskan pertempuran antara puak Palestin, sebelum Hamas merampas kuasa di Semenanjung Gaza, sekali gus mewujudkan perpecahan dengan Fatah di Tebing Barat.

Akibatnya, Majlis Perundangan Palestin, iaitu parlimen Pihak Berkuasa Palestin, tidak pernah bersidang sejak 2007.

Abbas memenangi pilihan raya presiden Palestin terakhir pada 2005 dan tempoh perkhidmatannya sepatutnya berakhir pada 2009. Namun, beliau terus memerintah melalui dekri sejak itu. – AFP

 

The post Palestin tangguh pilihan raya hingga September tahun depan kerana Israel appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved