
Kota Kinabalu: Choo Kok Wei dari Perak muncul juara dalam Tuaran Strongman Challenge yang diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara di Padang Istiadat Tuaran pada Sabtu.
Walaupun mengalami koyakan serat otot pada bahagian bisep sebelum pertandingan dan tidak dapat memberikan aksi terbaik dalam dua rutin terakhir di mana beliau hanya menduduki tempat kedua dalam acara Hercules Hold dan tempat keempat dalam Atlas Stone, beliau tetap berjaya mengumpul keseluruhan 24 mata, sama seperti peserta dari Keningau, Charles Khoo.
Namun, Choo diumumkan sebagai pemenang berdasarkan peraturan “Technical Countback” dengan kemenangan terbanyak (mata tertinggi) selepas menjuarai acara Farmer Walk dan Yoke Walk.
Charles pula di tempat kedua di belakang Choo dalam kedua-dua rutin itu walaupun beliau berjaya memenangi acara Hercules Hold dan menamatkan Atlas Stone di tempat kelima.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Francis Abi dari Keningau dengan 19 mata.
